https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kunci tangani PdPR di pihak kerajaan, sediakan kupon beli peranti bantu ibu bapa, kata Umno

 


PUTRAJAYA: Umno mendesak kerajaan menyediakan peruntukan RM3 bilion dalam bentuk kupon bagi membolehkan ibu bapa kepada lebih 4.8 juta pelajar membeli peranti serta membayar data bagi memudahkan anak mereka mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan berkata, tindakan itu perlu kerana masalah kemampuan membeli peranti bersesuaian, data, kualiti dan capaian internet untuk PdPR kini menjadi topik perbualan utama masyarakat.

Katanya, pelbagai usaha dilaksanakan baik Ebit Lew, Syed Saddiq Abdul Rahman atau badan bukan kerajaan (NGO) tertentu serta banyak pihak bukan kerajaan turut membantu meringankan beban pelajar.

“Bagi saya, tak wajar mengkritik mana-mana usaha ini. Soal pendidikan – lebih ramai membantu, lebih baik. Malaysia ada hampir 4.8 juta pelajar sekolah rendah dan menengah. Mengambil sifir mudah, B40 ada dua juta pelajar dan M40 juga dua juta.

“Kerajaan boleh belanja dengan menyediakan kupon subsidi hanya untuk pembelian komputer riba, misalnya RM1,000 untuk B40 dan RM500 untuk M40. Jika digunakan secara total pun, jumlah belanja adalah RM3 bilion.

“Tak sampai 1% Belanjawan 2021. Baik kupon fizikal mahupun e-dompet, kedua-duanya boleh dipertimbang,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, Shahril berkata beliau berharap kerajaan tidak akan meletakkan syarat ketat dan rumit bagi permohonan kupon berkenaan bagi memastikan matlamat asal program itu dapat dicapai.

“Tak perlu spesifikasi ketat dan proses perolehan rumit. Biar pelajar/ibu bapa putuskan ‘device’ (peranti) apa mereka mahu beli – selagi memadai untuk PdPR. Tambahan lagi, kupon atau baucar untuk menambah kitaran belanja dalam ekonomi – Insya-Allah tidak ada masalah.

“Kunci untuk menangani cabaran PdPR ini ada di pihak kerajaan. Mustahil NGO, parti politik atau orang persendirian boleh sediakan laptop untuk semua yang memerlukan,” katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.