Malaysia Baharu haru biru akibat `dosa’ politik Tun M?
Oleh Zulkiflee Bakar
Rakyat khususnya
orang Melayu berhak bertanya Tun Dr.Mahathir Mohamad, apa sudah jadi
dengan Malaysia Baharu? Dari semasa ke semasa semakin bercelaru dan haru
biru.
Ada pihak mempertahankan perhimpunan menyokong
LGBT di Putrajaya, ahli politik mengkritik keputusan mahkamah
menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara kepada seorang lelaki menghina nabi
dan pemimpin Melayu dalam Pakatan Harapan (PH) membela DAP yang
dianggap biadab kerana mengecam kerjasama UMNO-Pas.
Apakah
ini kesannya apabila Dr.Mahathir dalam usaha menjatuhkan Datuk Seri
Najib Tun Razak sebelum PRU-14 begitu beria-ia mempertahankan kebebasan
bersuara, amalan demokrasi yang dilihat tidak terbatas dan sanggup
tunduk kepada pemimpin DAP kerana dendam politik?
Bbahananya,
golongan LGBT semakin berani bersuara menuntut hak mereka, apabila
ditegur oleh Datuk Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail, anak Dr.Mahathir
mengkritik Timbalan Perdana Menteri itu, maklumlah cucu Perdana Menteri
pun turut serta dalam perhimpunan berkenaan.
DAP pula semakin besar kepala. Kerjasama UMNO-Pas ditentang habis-habisan walaupun ia demi penyatuan ummah.
Penyatuan
itu digambarkan akan membawa pemerintahan Taliban ke negara ini, tiada
langsung rasa hormat mereka kepada usaha menyatukan umat Islam.
Dr.Mahathir
pula dalam fikiran seolah-olah tidak ada benda lain mahu dikaitkan
dengan UMNO, selain, Najib, 1MDB, Najib, 1MDB hinggakan kerjasama itu
pun dianggap usaha membebaskan Najib.
Malaysia
Baharu menjadi haru biru kerana Dr.Mahathir yang dianggap pemimpin
bijak terpaksa bekerja dengan beberapa menteri yang kadang kala
berperangai seperti badut.
Mereka membuat
kenyataan tanpa berfikir panjang sehingga akhirnya menyebabkan kerajaan
dikecam. Ada pula yang mempertahankan DAP habis-habisan kerana mungkin
sudah terhutang budi.
Tetapi semua itu
berlaku kerana Dr.Mahathir membentuk Malaysia Baharu dalam keadaan
tergopoh-gapah dan dipenuhi janji-janji palsu. Tanpa menduga PH akan
menang, Dr.Mahathir hanya mengganguk sahaja apa yang dijanjikan oleh
pakatan itu kerana apa yang penting BN, UMNO dan Najib disingkirkan.
Apabila ia tidak dapat dilaksanakan Dr.Mahathir berdalih menyatakan manifesto bukan kita suci yang wajib dipatuhi.
Dan Dr.Mahathir juga bertanggungjawab memungkinkan DAP dilihat cukup berkuasa sama ada di peringkat kerajaan mahupun parti.
Sebab
itulah kita lihat pemimpin-pemimpin DAP tidak pernah rasa takut untuk
membuat kenyataan yang menggores perasaan orang Melayu.
Ia
kerana mereka tahu apa Dr.Mahathir boleh buat, beliau menjadi Perdana
Menteri pun hasil sokongan DAP, kalau DAP menarik balik sokongan itu,
semua orang memahami apa akan terjadi.
Kalaulah
apa yang dihujahkan, tidak betul, Dr.Mahathir perlu menghentikan
tindakan pihak tertentu memperalatkan kebebasan bersuara tidak bertempat
seperti memperjuangkan hak LGBT, walaupun kita tahu anak dan cucu
beliau menyokong kumpulan mereka tetapi ia adalah tuntutan tidak
bermoral dan amat bertentangan dengan tatasusila masyarakat negara ini
serta agama Islam.
Lagipun kita amat tahu sentimen Dr.Mahathir dalam soal LGBT, apa yang perlu beliau lakukan ialah menunjukkan ketegasan.
Begitu
juga dengan DAP, Dr.Mahathir perlu berani menegur pemimpin-pemimpin
parti tersebut supaya jangan melampaui batas dalam bercakap perkara
berkaitan orang Melayu dan umat Islam walaupun kita faham Dr.Mahathir
pun selalu dilihat memperlekehkan orang Melayu.
Selain
itu, rombakan Kabinet perlu dilakukan, mana-mana menteri atau timbalan
menteri yang dilihat `tidak cerdik’ gugurkan sahaja.
Dr.Mahathir
juga tidak harus memandang buruk kerjasama UMNO-Pas. Beliau tidak
perlun takut apa-apa kerana bukankah parti-parti dalam PH hebat-hebat
belaka.
Apakah Dr.Mahathirpun tidak percaya
kepada kekuatan Bersatu untuk melawat UMNO atau `kehebatan’ Amanah
melawan Pas? Sama ada kerjasama itu akan berjaya atau tidak, biarlah
rakyat menentukan,
Dr.Mahathir tumpulah
perhatian kepada Malaysia Baharu yang semakin haru biru akibat maneuver
politik beliau dan janganlah sampai orang melihat apa yang berlaku
kepada negara sekarang disebabkan `dosa-dosa politik’ pemimpin berusia
94 tahun tersebut.






Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.