https://critoxium.com/shop/

Terkini

Akmal sepatutnya tinggalkan Umno. Bukan gesa Umno tinggalkan PH


Oleh Marzuki Mohamad

Seruan perpaduan Melayu tentu disambut baik oleh orang Melayu.

Tetapi perpaduan Melayu dan percaturan kuasa politik Melayu adalah dua perkara yang berbeza.

Ketua Pemuda Umno lantang menggesa partinya supaya meninggalkan PH.

Gesaan ini segera disambut oleh Pemuda Pas.

Baguslah kalau benar begitu. Saya sokong 100%.

Tetapi dalam hela nafas yang sama, Ketua Pemuda Umno kata itu pandangannya. Bukan pendirian partinya.

Ini membuatkan saya ragu 100%.

Umno sebuah parti Melayu yang lama dan matang. Pemimpin Umno akan membuat keputusan untuk kepentingan partinya. Bukan demi perpaduan Melayu.

Jika Umno membuat keputusan demi perpaduan Melayu, parti itu tidak akan membentuk kerajaan bersama PH selepas PRU 15.

Perpaduan Melayu tidak berguna jika ia tidak menguntungkan Umno.

Menuju PRU 16, Umno mempunyai pilihan samada untuk memilih MN atau terus bekerjasama dengan PH.

Jika memilih MN, Umno perlu berkongsi pengaruh dan kuasa dengan Pas.

Jika memilih PH, Umno tidak perlu berkongsi kuasa dengan Pas dan satu kaki telah berada di dalam kerajaan.

Strategi Umno hanyalah kekalkan sokongan penyokong-penyokong tegarnya sahaja. Jika Umno plays its card well, sekitar 25% pengundi Melayu kekal menyokong Umno.

PH telah mempunyai sekitar 15% sokongan Melayu.

Gabungan 25% penyokong Melayu tegar Umno dan 15% penyokong Melayu PH, gabungan UMNO+PH mempunyai takungan 40% sokongan Melayu.

Kalau ada pun plus minus atas pelbagai isu, takungan sokongan Melayu kepada Umno+PH tidak kurang 30%.

Dengan lebih 90% sokongan bukan Melayu kepada PH, gabungan Umno+PH boleh menang semua kerusi Parlimen majoriti bukan Melayu dan semua kerusi Parlimen majoriti Melayu 65% ke bawah dengan selesa.

Anwar Ibrahim akan terus menjadi Perdana Menteri selepas PRU 16.

Jika Umno bersama PH dalam PRU 16, orang Melayu mungkin majoritinya akan menyokong PN, tetapi Umno tetap berada di dalam kerajaan dan PH tetap berkuasa.

Keputusannya adalah status-quo.

Saya jangkakan negeri-negeri di mana Umno mempunyai sokongan penyokong tradisinya yang tegar seperti Johor dan NS akan terus dikuasai pakatan Umno+PH.

Sebab itulah Pemuda Pas jangan terlalu teruja merangkul Umno sebagai pejuang Melayu semata-mata kerana mahu MN menjadi realiti.

Tugas anda sekarang ialah "hollow-out" Umno. Bukan rangkul Umno dalam keadaan tidak pasti.

Pastikan sokongan Melayu kepada Umno kurang 10% barulah Umno datang melutut kepada Pas.

Slogan Pas ganti UMNO masih relevan. Bukan Pas kawan Umno.

Merangkul MN dalam keadaan parti Umno masih bersama PH adalah strategi yang salah. Ini memberi kekuatan moral kepada penyokong-penyokong tegar Umno untuk kekal bersama Umno.

Peralihan sokongan penyokong Umno secara besar-besaran kepada PN tidak akan berlaku.

Selagi Umno masih menguasai 25% sokongan Melayu, parti itu mempunyai pilihan dalam PRU 16 untuk kekal bersama PH. Saya percaya Umno akan membuat pilihan rasional untuk kepentingan partinya, bukan untuk kepentingan Melayu.

Jika Ketua Pemuda Umno bimbang tentang masa depan Melayu, beliau sepatutnya tinggalkan Umno. Bukan gesa Umno tinggalkan PH, tetapi terus berada di dalam Umno walaupun Umno kekal bersama PH.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.