Mengharap kebaikan dasar PM 2 penggal
Bayangkan Malaya dan Malaysia mempunyai peraturan had dua penggal bagi jawatan perdana menteri. Maknanya apabila Tunku Abdul Rahman menjadi perdana menteri melalui kemenangan dalam PRU 1959 dan 1964, dia tidak lagi boleh menjadi perdana menteri pada 1969.
Maka dalam PRU 1969, Abdul Razak Hussein sewajarnya mengetuai Perikatan. Berkemungkinannya Perikatan dapat mempertahankan majoriti dua per tiga dan peristiwa 13 Mei dapat dielakkan.
Malah dengan kemenangan besar Perikatan, BN tidak diperlukan.
Abdul Razak kemudian boleh memimpin Perikatan dalam PRU pada 1974 tetapi bagi PRU tahun 1978, Hussein sudah boleh mengetuai Perikatan
Jika Hussein dipilih untuk terus menjadi Presiden Umno, maka dia boleh terus menjadi perdana menteri pada 1982. Tetapi dalam sejarah, Dr Mahathir Mohamad sudah dipilih oleh perwakilan.
Namun peraturan mengehadkan seseorang menjadi perdana menteri selama dua penggal lebih memberi kesan kepada Mahathir. Dia menjadi perdana menteri pada 1982 dan mengetuai BN pada 1986.
Walaupun BN menang besar pada 1986, dia tidak boleh terus menjadi perdana menteri pada 1990.
Maka ahli politik yang mengetuai BN pada 1990 mungkin Tengku Razaleigh Hamzah, Musa Hitam atau Ghafar Baba – bergantung pada pilihan Mahathir dan para perwakilan Umno. Tetapi untuk mematuhi apa yang telah berlaku dalam sejarah, bayangkan saja Ghafar yang menjadi perdana menteri.
Tak hilang majoriti mutlak
Jika dia dapat mempertahankan kepimpinannya dalam Umno, Ghafar boleh sekali lagi menjadi perdana menteri pada 1995. Jika tidak, Anwar Ibrahim yang menjadi perdana menteri sekiranya perwakilan Umno memilihnya.
Anwar boleh menjadi perdana menteri pada 1995 dan 1999. Maka gerakan Reformasi tidak berlaku dan Parti Keadilan Nasional tidak ditubuhkan. Tidak akan ada Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat atau Pakatan Harapan.
Selepas 2004, Anwar tidak boleh jadi perdana menteri lagi. Maka yang akan menjadi perdana menteri ialah timbalannya jika dia mendapat sokongan perwakilan Umno. Timbalan Presiden Umno ketika itu mungkin Muhammad Muhd Taib yang memperoleh undi tertinggi, diikuti Najib Razak dan Muhyiddin Yassin.
Tetapi dalam senario lain, Abdullah Ahmad Badawi atau Sanusi Junid mungkin yang menjadi perdana menteri. Abdullah Ahmad Badawi
Untuk memudahkan perbincangan dan mengikut sejarah yang berlaku, bayangkan saja Abdullah menjadi perdana menteri pada 2004 dan 2008. Untuk PRU selanjutnya – iaitu pada 2013 – berkemungkinannya Muhammad, Najib atau Muhyiddin yang menjadi perdana menteri.
Namun begitu, BN mungkin tidak hilang majoriti dua per tiga pada 2008 dan 2013 kerana PKR dan Pakatan Rakyat tidak wujud.
Tidak kira siapa yang menjadi perdana menteri, apabila BN menyertai PRU pada 2018, BN akan tetap menang dengan majoriti dua per tiga jika tidak ada skandal sebesar 1MDB berlaku.
Begitu juga jika PKR, Bersatu dan PH tidak ada dengan negarawan-negarawan bersara Umno seperti Mahathir dan Anwar kekal dalam parti itu.
Terkandung dalam manifesto
Dengan keadaan itu, maka tidak berlaku Langkah Sheraton yang menjadikan negara tidak stabil. Keutuhan Umno akan menolak sebarang peluang bagi DAP menyertai kerajaan.
PAS juga tidak berpeluang menjadi sebahagian daripada kerajaan kerana tidak berlaku insiden ‘tebuk atap.’
Tetapi sejarah sudah berlaku. Peraturan mengehadkan seseorang ahli parlimen untuk menjadi perdana menteri selama dua penggal mula dicadangkan oleh pihak pembangkang apabila berlaku gerakan Reformasi pada 1998. Pihak pembangkang ketika itu – yang terdiri daripada PAS, PKR, DAP dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) –berhimpun dalam Barisan Alternatif.
Mereka berasakan keadaan menekan dalam negara antara lain berpunca daripada pentadbiran Mahathir yang lebih daripada dua penggal. Maka antara tuntutan Reformasi ialah mengehadkan tempoh pentadbiran seseorang perdana menteri selama dua penggal atau 10 tahun.
Sedangkan ketika itu pentadbiran Mahathir sudah menjangkau 17 tahun (1981-1998). Mahathir Mohamad
Tuntutan Reformasi itu terkandung dalam Manifesto Bersama Barisan Alternatif pada 1999, 2004, 2008, 2013 dan 2018. Maka dengan kemenangan PH pada 2018, pengehadan itu disebut tetapi ia tidak dilaksanakan hinggalah perdana menteri mengumumkannya dalam ucapan pertama tahun baru 2026 beberapa hari lalu.
Apabila ini berlaku, Anwar hanya ada satu penggal lagi sebagai perdana menteri, itupun kalau dia menang dalam PRU akan datang, atau dapat sokongan parlimen untuk terus menjadi perdana menteri.
Katakan PRU akan datang diadakan ketika habis penggal iaitu pada 2026, dan Anwar dipilih menjadi perdana menteri semula, maka dia tidak lagi boleh menjadi perdana menteri sesudah itu.
Namun Anwar tetap boleh bertanding sebagai ahli parlimen pada tahun 2030.
Calon PM dari PAS
Tetapi yang juga menjadi isu ialah, mampukah Anwar menjadi perdana menteri pada penggal akan datang?
Satu cara nyata bagi Anwar untuk menjadi perdana menteri semula ialah dengan PH mengadakan pakatan dengan BN. Katakan jika keputusan PRU nanti akan menjadi lebih kurang seperti PRU ke-15, maka status quo dapat dikekalkan.
Tetapi ada sebahagian besar Umno percaya bahawa mereka lebih selesa bekerjasama dengan PAS dalam Muafakat Nasional berbanding PH, dan melalui pakatan itu mereka akan dapat menang.
Maka isu perdana menteri juga menjadi masalah. Maknanya siapakah calon perdana menteri mereka?
Ada yang menyatakan bahawa PAS bersedia untuk menerima Ahmad Zahid Hamidi sebagai perdana menteri walaupun jumlah kerusi yang diperoleh oleh PAS nanti lebih banyak berbanding Umno.
Keadaan itu belum tentu pasti. Apabila sampai masanya, kemungkinan yang ada ialah PAS mahu calon mereka yang diangkat menjadi perdana menteri.
Untuk mencari calon perdana menteri dari PAS lagi bermasalah. Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, difikirkan tidak layak tetapi para penyokongnya berpendapat tidak semestinya presiden menjadi perdana menteri. Ahmad Samsuri Mokhtar
Untuk melihat siapakah calon perdana menteri dari PAS, rakyat perlu melihat siapakah yang PAS pilih untuk dijadikan Pengerusi PN.
Ada dua nama disebut iaitu Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar, dan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor. Tetapi Sanusi kata berilah kepada “Dr Sam”.
Dengan keadaan ini, calon perdana menteri dari PN akan kembali ke Bersatu, sama ada Muhyiddin Yassin, Hamzah Zainudin atau Azmin Ali.
Sebenarnya dalam sistem parlimen Westminster yang diamalkan oleh negara-negara Komanwel, tidak ada had tempoh jawatan perdana menteri. Selagi menang PRU, seseorang perdana menteri boleh terus memerintah tanpa had waktu.
Lagipun pihak yang melantik perdana Menteri adalah Yang di-Pertuan Agong. Sememangnya raja bertakhta sepanjang hayatnya. Keseimbangan kuasa sudah boleh berlaku antara raja dan perdana menteri.
Sesuatu yang perlu
Sistem yang ada tempoh jawatan ialah AS iaitu sebagai presiden – yang memegang kuasa eksekutif – perlu ada peraturan supaya tempoh jawatannya dihadkan bagi menghalang berlakunya kediktatoran.
Keadaan presiden berubah menjadi diktator banyak berlaku di negara-negara republik. Antaranya Filipina pada zaman Ferdinand Marcos, dan Indonesia pada zaman Sukarno dan Suharto.
Selepas Revolusi Kuasa Rakyat di Filipina negara itu mengehadkan tempoh jawatan presidennya kepada satu penggal saja yang berupa enam tahun.
Sementara selepas Reformasi, Indonesia mengehadkan jawatan presidennya kepada dua penggal.
Tetapi peraturan mengehadkan tempoh jawatan itu tidak melahirkan kepimpinan yang bagus sama ada di Filipina atau Indonesia.
Kini, Filipina mempunyai Presiden Bongbong Marcos yang merupakan anak Ferdinand sementara Indonesia mempunyai Presiden Prabowo Subianto yang pernah menjadi menantu Suharto.
Seolah-olah Revolusi Kuasa Rakyat di Filipina dan Reformasi di Indonesia tidak memberi apa-apa erti.
Tidak diketahui sama ada sistem mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal akan mendatangkan kebaikan pada negara atau tidak.
Tetapi pada fikiran pihak pembangkang pada 1999, ia adalah suatu yang perlu apabila mereka menyaksikan Mahathir menjadi perdana menteri begitu lama hingga menafikan penggantian pemimpin baru dan perubahan bermakna buat negara.
Maka apa yang dilakukan oleh Anwar itu adalah menepati tuntutan manifesto PH yang pernah memperoleh majoriti ketika dipimpin oleh Mahathir dan di dalamnya ada Bersatu.
Walaupun dalam kerajaan Madani PH bukan kumpulan majoriti, tetapi komponennya – PKR, DAP dan Amanah – adalah pihak yang memperjuangkan tempoh jawatan perdana menteri dihadkan.
Maka untuk mengekalkan sokongan mereka, Anwar perlu melakukannya.
ZIN MAHMUD ialah seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.