Taliban: DAP cetus lagi api permusuhan
PARTI Islam Se-Malaysia
(PAS) menempelak sekali lagi kebiadapan pemimpin DAP yang telah
menimbulkan api permusuhan kaum dan agama di negara ini.
Beberapa hari lalu Nga Kor Ming
menyifatkan kerjasama penyatuan ummah Umno dan PAS jika berjaya
memerintah akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Afghanistan
yang diperintah oleh Taliban.
Kenyataan biadap Nga Kor Ming disuarakan
beberapa hari selepas Lim Guan Eng menyifatkan kerjasama penyatuan
ummah Umno dan PAS umpama pengisytiharan perang terhadap golongan bukan
Islam.
PAS mengajak seluruh rakyat melihat
sikap sebenar DAP yang diselubungi amarah dendam dan benci terhadap
penyatuan ummah sehingga sanggup melabelkan pelbagai konotasi negatif
untuk menakutkan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Umno dan PAS telah bersetuju untuk bekerjasama untuk melindungi kepentingan umat Islam (protective action) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14, Mei lalu.
Kerjasama ini juga bertujuan untuk
menyatupadukan umat Islam di Malaysia tanpa menzalimi bangsa dan
penganut agama yang lain sepertimana yang diperuntukkan dalam
Perlembagaan Persekutuan.
Asas kerukunan negara mesti dipelihara supaya negara akan terus membangun dengan stabil, aman dan harmoni.
Namun, sikap DAP yang anti kepada
penyatuan umat Islam adalah biadap dan keterlaluan. Lim Guan Eng dan Nga
Kor Ming boleh hadir ke Kelantan, Terengganu, Perlis dan Pahang untuk
meninjau kehidupan masyarakat di negeri yang diperintah oleh PAS dan
Umno.
Malah, ketika PAS berada dalam kerajaan
negeri Selangor pada tahun 2008 hingga 2018, PAS tidak sekali-kali
menzalimi kepentingan agama dan kaum lain.
Islam Memimpin
Ketua Penerangan PAS Pusat





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.