https://critoxium.com/shop/

Terkini

Umno, PKR & DAP: Gabungan terbaik masa kini?


KEADAAN semasa politik tanah air kian meruncing sejak kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada bulan Mac yang lepas. 

Kini kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin diibaratkan seperti telur di hujung tanduk apabila Majlis Tertinggi Umno membincangkan usul untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu pada 31 Januari ini. 

Sekiranya hal ini berlaku, sudah tentu kerajaan PN akan mencatat sejarah sebagai kerajaan paling singkat di Malaysia. 

Ketegangan ini berlaku akibat ketidaksefahaman antara tiga parti Melayu iaitu Umno, Bersatu dan PAS. Ketiga-tiga parti ini seolah-olah tidak ditakdirkan untuk bekerjasama dalam jangka masa yang panjang. 

Walaupun menggelar kerajaan pimpinan mereka sebagai kerajaan “Melayu Islam”, mereka seolah-olah hanya mahukan kuasa dan jawatan dalam kerajaan. 

Lihatlah bagaimana Umno yang menyeru agar Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disegerakan sambil memberi bayangan bahawa mereka akan bertanding di kesemua kerusi tradisi mereka termasuklah kerusi yang dimenangi oleh wakil rakyatnya yang telah melompat ke Bersatu. 

Hal ini sudah dapat dijangka dengan lebih awal lagi apabila Umno yang mempunyai Ahli Parlimen terbanyak dalam kerajaan telah dinafikan jawatan-jawatan penting dalam Kabinet termasuklah jawatan Timbalan Perdana Menteri. 

Tambahan pula, Umno mengatakan bahawa Bersatu cuba untuk mengganggu kawasan-kawasan yang telah dikuasai oleh mereka sejak sekian lama. 

Perkara ini jelas mendatangkan ketidaksenangan dari akar umbi Umno yang inginkan kepimpinan parti menarik balik kesemua sokongan terhadap Muhyiddin.

Persoalannya, ke manakah hala tuju Umno selepas keluar dari kerajaan PN? 

Adakah gabungan asal mereka iaitu BN mampu berkuasa semula pada PRU 15 akan datang? Atau Umno patut bersama dengan parti DAP dan PKR? 

Pada pandangan saya, jika gabungan antara Umno, DAP dan PKR menjadi kenyataan, ia merupakan gabungan terkuat dan bakal memenangi PRU15 dengan majoriti 2/3. 

Ini kerana ketiga-tiga parti ini bertanding di kawasan yang berbeza, misalnya Umno bertanding di kawasan majoriti Melayu di pedalaman, DAP bertanding di kawasan majoriti Cina di bandar dan PKR bertanding di kawasan campuran bumiputera dan bukan bumiputera di bandar dan di luar bandar. 

Jika ketiga-tiga parti ini bekerjasama, saya percaya gabungan ini akan  menguasai 10 buah negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Johor, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Perlis dan Kedah. 

Saya beranggapan, gabungan tersebut tidak mampu dicabar oleh mana-mana parti atau gabungan lain termasuklah Perikatan Nasional (PN) sendiri. Ini kerana, jika PN membawa agenda kerajaan Melayu Islam pada PRU15 akan datang, saya beranggapan mereka akan kalah teruk kerana mereka hanya menyasarkan pengundi Melayu tanpa memikirkan kaum-kaum yang lain. 

Persoalannya, jika parti PAS dan Bersatu mampu memenangi kawasan-kawasan majoriti Melayu, parti manakah dalam PN yang mampu menarik pengundi bukan bumiputera untuk mengundi mereka? 

Pernahkah dalam sejarah pentadbiran negara, parti Melayu menang secara sendirian tanpa bekerjasama dengan parti bukan Melayu?  

Justeru itu saya merasakan gabungan Umno, PKR dan DAP merupakan gabungan politik yang terbaik buat masa ini. Namun yang demikian, terpulanglah kepada pemimpin ketiga-tiga parti tersebut sama ada ingin melakukan penyatuan ataupun terus menjadi musuh. – Bernama

*Muhammad Hafeezzur Rahman,

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.