https://critoxium.com/shop/

Terkini

Zahid mungkin bukan dalam 'kerangka pemikiran betul' - Annuar

Bekas setiausaha agung BN yang disingkir, Annuar Musa berkata, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mungkin tidak berada dalam "right frame of mind" (kerangka fikiran yang betul) kerana menghadapi pertuduhan jenayah terhadap dirinya.

Annuar berkata demikian semasa sesi wawancara apabila ditanya bagaimana pengaruh tuduhan rasuah terhadap pengerusi BN itu mempengaruhi dirinya.

Zahid, yang juga ahli parlimen Bagan Datuk, dikatakan menggerakkan parti itu menentang pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Ini walaupun Umno menjadi sebahagian daripada kerajaan gabungan Perikatan Nasional (PN).

"Ya mungkin, mungkin juga kerana tekanan-tekanan yang beliau hadapi daripada pendakwaan-pendakwaan, menyebabkan beliau barangkali adakalanya tidak berada dalam in the right frame of mind, saya tidak tahu.

"Tapi saya tengok setakat ini beliau mempunyai kekuatan untuk menghadapi perkara itu, malah saya mendoakan beliau akan terus mempunyai kekuatan untuk berhadapan dengan kes-kes di mahkamah," kata Annuar pada program wawancara Kerusi Panas melalui siasaran TV Pertiwi malam tadi.

Rabu lalu, Annuar menuduh Zahid menggunakan parti itu untuk kepentingan peribadinya, sehari selepas penyingkirannya sebagai setiausaha agung BN. Bagaimanapun, Annuar tidak menjelaskan lanjut tuduhannya itu.

Zahid ada kekuatan dan kelemahan

Ada yang melihat tuduhan Annuar itu secara tidak langsung merujuk fakta bahawa kerajaan sekarang tidak menggugurkan tuduhan rasuah terhadap presiden Umno itu, yang dimulakan oleh pentadbiran sebelumnya.

Annuar juga menuduh bahawa Zahid menyokong usaha Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Dia juga menuduh Zahid berkonspirasi dengan DAP dalam usaha untuk membentuk penjajaran politik baru.

Walaupun menekankan perkara ini tidak sesuai dengan pendirian parti, Annuar berkata tidak wajar untuk dirinya mempertikaikan jika Zahid layak terus memimpin Umno.

Zahid banyak melakukan pencapaian ketika menerajui parti tetapi "beliau tidak sempurna," tambah Annuar.

Menurutnya lagi, terserah kepada Zahid untuk mengawal "kekuatan dan kelemahannya."

Dia juga mengambil maklum Umno ketika menjadi kerajaan dilihat tidak cukup memperjuangkan perjuangan Melayu dan Islam.

"Parti saya tidak buat mencukupi, malah saya rasa PAS juga, kami tidak cukup melakukannya.

"Waktu di luar kerajaan, kami tegur, selepas kita jadi kerajaan, kelihatan ada satu pemisahan di kalangan kita yang berada di dalam kerajaan, yang sibuk dengan urusan kerajaan dengan parti," katanya.

Annuar, yang juga ahli parlimen Ketereh, bagaimanapun meremehkan perpecahan berlaku dalam Umno walaupun kedua-dua belah pihak mempunyai perbezaan pendapat.

"Setakat ini pada saya bukan satu perpecahan yang parah, perbezaan pendapat mungkin berleluasa, itupun tidak ramai yang berbeza, dan ini boleh diuruskan bergantung kepada kebijaksanaan mereka yang meminpn.

"Saya tidak kata pada masa ini perpecahan dalam Umno, macam saya, misalnya, saya tidak pecah dengan mana-mana kumpulan, cuma saya berbeza pendapat, saya tidak boleh terima sesuatu yang berbeza dengan parti putuskan," katanya lagi.

Katanya, dia dipecat mungkin kerana Zahid tidak lagi mempercayainya sebagai setiausaha agung BN setelah dia dilihat lebih pemimpin pro-Muhyiddin dan condong terhadap Bersatu.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.