Pergelutan politik PN ‘jauh lebih teruk’ berbanding PH, kata Syed Saddiq
PETALING JAYA: Perbalahan dalaman Perikatan Nasional (PN) jauh lebih teruk berbanding pertelagahan Pakatan Harapan ketika menerajui kerajaan, kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Beliau mendakwa dalam kes PN, “hampir setiap hari dan minggu”, parti sekutu dalam kerajaan terbabit dalam “perbincangan dan usaha” menjatuhkan kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin.
“Dahulu, kita sering dituduh kerajaan PH ini tidak stabil, ada masalah pergelutan antara dua pemimpin tertinggi dan saya akur memang ada.
“(Tetapi) kalau dulu teruk, sekarang jauh lebih teruk dalam pergelutan politiknya kerana setiap minggu, setiap hari akan ada perbincangan untuk tarik sokongan supaya kerajaan (PN) jatuh,” katanya dalam wawancara Sinar Harian malam tadi.
Beliau berkata, kerajaan PN tidak akan berupaya memberi fokus kepada usaha memerangi Covid-19, sekiranya krisis politik dan gerakan menjatuhkan kerajaan berterusan.
Katanya, pengurusan Covid-19 di bawah Dzulkefly Ahmad sebagai menteri kesihatan di bawah pentadbiran PH jauh lebih baik berbanding Dr Adham Baba di bawah kerajaan PN.
“Dzulkefly menangani Covid-19 menggunakan data dan sains, tapi saya tahu keputusan yang dibuat (hari ini) tidak berdasarkan sains dan data.
“Jadi, kalau (PN) ada maruah, ini masa terbaik (kerajaan) ‘u-turn’ (dan) ubah balik keputusan (cara mengendalikan Covid-19),” katanya.
Antara yang perlu dikaji semula, menurut Syed Saddiq, adalah SOP yang sering dipertikaikan rakyat.
Beliau yakin jika PH masih menerajui Putrajaya, Parlimen tidak akan digantung dan institusi demokrasi tidak dilemahkan sepertimana yang dilakukan kerajaan PN ketika ini.
Dalam wacana itu, Adun Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin menepis tuduhan kerajaan PN gagal menguruskan Covid-19 dengan baik sehingga rakyat terabai dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.
Beliau turut menempelak kebolehan PH memerangi Covid-19, jika masih berkuasa.
“Kalau pentadbiran sebelum ini (PH) yang memerintah sekarang, saya tidak yakin mereka dapat umumkan belanjawan dan bantuan rakyat sebesar (kerajaan PN) ini.”
Beliau berkata, zaman PH “tidak ada krisis kesihatan, tidak ada krisis ekonomi, yang ada hanya krisis siapa nak jadi perdana menteri”.
“Tetapi, kerajaan hari ini kita kekal fokus nak majukan kehidupan rakyat dan berdepan krisis dan pulihkan ekonomi kembali,” katanya.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.