Suhakam: Pemilik portal tak wajar bertanggungjawab atas komen pembaca
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyatakan kebimbangan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan memutuskan Malaysiakini bersalah kerana menghina mahkamah baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan Suhakam berkata keputusan itu bakal memberi kesan terhadap kebebasan bersuara.
“Hak kebebasan bersuara yang dijamin di bawah Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan tidak mutlak dan dibatasi oleh undang-undang demi menjaga keselamatan negara, ketenteraman awam atau moral dan hubungan antarabangsa.
“Bagaimanapun, Suhakam ingin menyatakan bahawa hari ini, dalam dunia digital di mana perbincangan boleh dilakukan secara umum, pemilik portal tidak wajar bertanggungjawab atas komen yang dibuat oleh orang ramai di portal mereka.
“Susulan itu, Suhakam menegaskan bahawa rangka perundangan negara harus seiring dengan media digital yang terus berkembang dan berfungsi sebagai platform wacana dan ekspresi mengenai isu-isu kepentingan awam,"kata badan hak asasi manusia itu.
Pada 19 Feb lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan Malaysiakini bersalah kerana menghina mahkamah menerusi komen yang dibuat pembacanya dan mengenakan denda sebanyak RM500,000 kepada portal berkenaan.
Peguam Negara, Idris Harun mengemukakan permohonan menghina mahkamah terhadap ketua editor portal berita berkenaan, Steven Gan pada 15 Jun tahun lalu.
Dia merujuk kepada komen dalam artikel bertarikh 9 Jun bertajuk “CJ orders all courts to be fully operational from July 1.”
Susulan keputusan itu, Malaysiakini memohon bantuan orang ramai untuk mengumpul sebanyak RM500,000 dan berjaya meraih kutipan kurang lima jam bagi membayar denda berkenaan.
Suhakam berkata, media merupakan instrumen penting yang menyumbang ke arah kesedaran dan perlindungan hak asasi manusia menerusi laporan mereka di negara ini.
“Dalam hal ini, perlu ada persekitaran bagus untuk media supaya dapat bekerja untuk melaporkan kepentingan awam.
“Sebarang tuntutan atau langkah untuk menghapuskan kandungan digital perlu berasaskan undang-undang yang sah, pengawasan bebas dan melalui kaedah yang perlu dan wajar untuk mencapai tujuan sah yang disebutkan di atas,"katanya.
Suhakam berkata, akses kepada maklumat, jaminan terhadap kebebasan akhbar dan kewartawanan yang bertanggungjawab akan menunjukkan komitmen Malaysia untuk mempromosikan dan melindungi hak rakyat terhadap kebebasan bersuara.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.