Umno tolak jawatan TPM, mahu tamat kerjasama dengan PN - Sumber
Umno membuat keputusan untuk mengakhiri kerjasama dengan Bersatu serta Perikatan Nasional (PN) sebaik proklamasi darurat berakhir, kata sumber daripada parti itu.
Menurut sumber, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi membuat ketetapan itu dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang berlangsung di Janda Baik, Pahang, pada Jumaat lalu.
"Umno membuat keputusan mengakhiri kerjasama dengan Bersatu sebaik saja 'darurat kesihatan' tamat. Presiden mengumumkan perkara itu dalam mesyuarat MT Umno.
"Umno juga tidak akan menerima sebarang pelawaan berkait dengan jawatan timbalan perdana menteri," katanya kepada Malaysiakini.
Hubungan Umno dengan Bersatu sememangnya diketahui umum bermasalah dan umpama retak menanti belah.
Ia selepas mesyuarat MT Umno pada Jan lalu membuat keputusan menamatkan kerjasama dengan Bersatu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Bagaimanapun Umno masih gagal mengabsahkan keputusan berkenaan selepas Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang dijadualkan hujung bulan lalu dibatalkan akibat perintah kawalan pergerakan (PKP).
Umno juga sebelum ini turut dikaitkan dengan spekulasi yang parti itu menjalinkan kerjasama dengan PKR bagi menjatuhkan kerajaan PN.
'Zahid guna kuasa tolak kerjasama'
Sementara itu, seorang lagi sumber yang enggan namanya disiarkan mendakwa Ahmad Zahid telah "menggunakan kuasanya" bagi menolak kerjasama dengan Bersatu dan PN.
Dakwa ahli MT berkenaan, majoriti ahli MT bersetuju penyertaan parti itu dalam PN seperti formula yang digunakan pada Pilihan Raya Negeri Sabah yang lalu.
Bagaimanapun katanya, Ahmad Zahid menolak cadangan itu.
Malah katanya, Ahmad Zahid juga turut menolak tawaran jawatan timbalan perdana menteri untuk Umno.
"Ahli-ahli MT bersetuju untuk bergabung dengan PN atas nama BN, seperti dilakukan semasa PRN Sabah untuk mengelak pertembungan tiga penjuru.
"Begitu juga dengan jawatan timbalan perdana menteri, (namun) presiden menggunakan kuasanya menolak cadangan itu," katanya lagi.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.