Perokok dijangkiti COVID-19 berdepan komplikasi dua kali ganda lebih teruk
PUTRAJAYA: Risiko kerosakan hati, buah pinggang dan sindrom gangguan pernafasan akut adalah antara komplikasi teruk yang dihadapi golongan perokok yang dijangkiti COVID-19, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.
Beliau
berkata data itu diperoleh melalui kajian Kementerian Kesihatan (KKM)
mengenai risiko komplikasi golongan perokok dijangkiti COVID-19 terhadap
5,889 kes COVID-19 yang dirawat di seluruh negara dari 1 Februari
hingga 31 Mei 2020.
Daripada
5,889 pesakit itu, seramai 791 individu adalah perokok dengan 773
daripadanya merupakan perokok lelaki (97.7 peratus) manakala 18 lagi
(2.3 peratus) adalah wanita, dan 5,098 lagi bukan perokok, dengan
majoriti berumur 30 tahun ke atas.
"Perbandingan
yang telah dibuat antara golongan perokok dan bukan perokok menunjukkan
bahawa golongan perokok berisiko hampir dua kali ganda mendapat
komplikasi teruk berbanding bukan perokok," katanya pada sidang media
mengenai hasil dapatan kajian tersebut di sini hari ini.
Kajian
itu merupakan kerjasama KKM melalui Bahagian Kawalan Penyakit, Bahagian
Perkembangan Perubatan dan Institut Kesihatan Negara dengan Universiti
Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Putra Malaysia.
Beliau
berkata penemuan kajian berkenaan juga selari dengan kenyataan
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 30 Jun lepas mengenai kesan
rokok dan jangkitan COVID-19.
(https://www.who.int/news-room/commentaries/detail/smoking-and-covid-19).
Ketua
Sektor Kawalan Tembakau KKM dan Urusetia Pelan Tindakan Kawalan
Tembakau Serantau (FCTC) Dr Nor Aryana Hassan ketika memperincikan hasil
kajian itu, berkata daripada 791 perokok terbabit, mereka turut
mempunyai sejarah penyakit kronik iaitu darah tinggi sebanyak 16.7
peratus, diabetes (12.3 peratus), masalah jantung (5.2 peratus) dan
paru-paru kronik 1.1 peratus.
Menurut Dr
Nor Aryana, kajian juga menunjukkan 14.2 peratus perokok merupakan
pesakit COVID-19 kategori tiga iaitu mempunyai jangkitan paru-paru namun
tidak memerlukan bantuan pernafasan, 4.4 peratus ialah kategori empat
iaitu mempunyai jangkitan paru-paru dengan keperluan bantuan pernafasan
manakala 1.6 peratus pesakit lagi adalah kategori lima iaitu kritikal.
Terdahulu,
Dr Noor Azmi melancarkan perkhidmatan berhenti merokok mQuit fasa tiga
iaitu dengan menambah baik perkhidmatan dalam talian
https://jomquit.com/ sedia ada untuk memudahkan proses pendaftaran dan
kebolehcapaian perkhidmatan tersebut.
Sebagai
tambahan, katanya pembentukan Rakan Nasihat Komuniti (RNK) oleh
Persatuan Mencegah Dadah Malaysia akan membantu dalam memberi maklumat
berkaitan perkhidmatan berhenti merokok melalui laman sesawang tersebut.
-- BERNAMA




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.