https://critoxium.com/shop/

Terkini

PRN Sarawak: Pemuda PBB ingatkan Bersatu jangan campur urusan jentera parti


Oleh RAYMOND LUI

Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mengingatkan supaya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak campur tangan dalam jentera parti ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 yang bakal diadakan selewat-lewatnya Jun tahun ini.

Menerusi kenyataan di Kuching semalam, Pemuda PBB bagaimanapun menyambut baik sokongan moral yang dilafazkan Bersatu bagi memastikan kemenangan besar Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada PRN12 tetapi tetap memberi peringatan agar tidak campur tangan dalam jentera parti ketika pilihan raya berlangsung kelak.

Kata kenyataan itu, GPS akan menjadi pilihan utama rakyat Sarawak dalam pilihan raya berdasarkan prestasi, pencapaian dan polisi kerajaan pimpinan GPS yang sentiasa mengutama dan mementingkan rakyat.

Justeru, Pemuda PBB yakin GPS bakal bertanding di kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta diberikan mandat sekali lagi oleh rakyat Sarawak untuk terus menerajui negeri ini.

“Dan kami akan terus berdiri teguh menyokong kepimpinan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebagai Ketua Menteri Sarawak, malah menyokong penuh kenyataan beliau selaku Pengerusi GPS dalam menyatakan sokongan kepada kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri bagi menjamin kestabilan negara,” tegas kenyataan itu.

Untuk rekod, tempoh mandat kerajaan Sarawak ketika ini adalah hingga Jun tahun ini.

Pada Oktober tahun lalu, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah menegaskan bahawa PRN tetap perlu diadakan apabila tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) sedia ada tamat.

Beliau berkata, ada pihak tertentu  yang mencadangkan PRN tidak diadakan ketika pandemik COvid-19 tetapi beliau menjelaskan bahawa DUN perlu dibubarkan apabila tempoh masanya tamat untuk membolehkan pilihan raya diadakan.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.