https://critoxium.com/shop/

Terkini

Campur tangan politik gugat tadbir urus entiti awam

 


Oleh Dr Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin -

Tadbir urus atau governance merujuk kepada struktur dan proses dalam menentukan arah tuju serta kawalan sesebuah syarikat.

Ia membabitkan hubungan antara pihak pengurusan, lembaga pengarah, pemegang saham dan pihak berkepentingan lain.

Matlamat utamanya, untuk memastikan arah tuju syarikat selari dengan objektifnya dan elemen kawalan diterapkan berkesan untuk memastikan kepatuhan serta prestasi optimum.

Dalam memastikan tadbir urus cekap, banyak garis panduan dan prinsip tadbir urus diwujudkan seperti Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG).

Diwujudkan berikutan krisis kewangan Asia 1997, MCCG kali pertama diterbitkan pada 2000. Sehingga kini, MCCG dipinda secara berkala dari 2007, 2012, 2017 dan terbaru pada 28 April lalu.

MCCG merangkumi semua garis panduan amalan tadbir urus baik, termasuk untuk lembaga pengarah, jawatankuasa audit lembaga pengarah, pengurusan risiko, kerangka kawalan dalaman dan komunikasi dengan pihak berkepentingan.

Walaupun MCCG mempunyai garis panduan mencukupi mengenai amalan tadbir urus baik, entiti berkepentingan awam terutama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) masih menghadapi masalah tadbir urus.

Isu tadbir urus dihadapi entiti awam ini, terutama disebabkan campur tangan kerajaan, memberi kesan signifikan terhadap prestasi dan nilai entiti awam itu sendiri.

Oleh itu, masyarakat mempersoalkan kewajaran campur tangan kerajaan dan kecekapan tadbir urus entiti awam ini.

Seperti contoh, Lembaga Tabung Haji (TH) yang menjadi pelopor dalam pengurusan haji terbaik dunia menghadapi beberapa isu tadbir urus berikutan campur tangan kerajaan.

Bermula pengumuman pengisytiharan hibah 2018 pada 1.25 peratus yang menjadi terendah sejak 1995 dan pemindahan saham bagi 106 syarikat strategik di bawah TH, mencetuskan perdebatan dalam kalangan masyarakat, terutama pendeposit.

Ketua Audit Negara dan juruaudit bebas dilantik mendapati kerugian dialami TH disebabkan pelaburan ekuiti bernilai hingga RM10 bilion pada 2018. Antara sebab utama adalah kerana campur tangan kerajaan dalam pengurusan TH.

Pelantikan politik tidak kompeten menyebabkan beberapa kes kegagalan kini disiasat. Ini termasuk kes rasuah, penyelewengan, tuduhan dan salah laku membawa kepada pengambilan keputusan salah serta arahan TH tidak stabil.

Selain itu, Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) turut menghadapi beberapa masalah disebabkan campur tangan kerajaan dalam tadbir urusnya. Ia bermula apabila 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membuat pinjaman daripada KWAP.

Dalam hal ini, pinjaman kira-kira RM2 bilion dikatakan diluluskan secara terburu-buru sebanyak dua kali, iaitu pada Ogos 2011 dan Mac 2012, selepas pesanan serta jaminan diberikan kerajaan pada masa itu.

Kemudian, apabila skandal 1MDB terbongkar, ia sedikit sebanyak memberi kesan, termasuk terhadap pinjaman diberikan KWAP. Ini hanya menunjukkan campur tangan pemerintah dalam proses membuat keputusan memberi kesan buruk terhadap KWAP.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) turut tidak terlepas daripada campur tangan kerajaan. Ini termasuk dalam isu pengeluaran simpanan oleh pendeposit berikutan wabak COVID-19.

Selepas ditekan pelbagai pihak, akhirnya kerajaan bersetuju supaya KWSP membenarkan pengeluaran simpanan terbabit untuk menampung keperluan orang awam dalam menghadapi ekonomi tidak menentu akibat COVID-19.

Ini satu lagi contoh menunjukkan campur tangan kerajaan menjadikan entiti awam tidak dapat membuat keputusan terbaik kepada penyimpan mereka dalam keadaan tidak menentu.

Sementara itu, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) turut menghadapi beberapa masalah tadbir urus disebabkan campur tangan kerajaan. Ini berdasarkan audit penyiasatan pada 2019 mendapati terdapat salah urus kewangan dan penyelewengan di LTAT.

Ini termasuk pengumuman dividen tinggi melebihi keuntungan dijana, di samping amalan usaha wajar (due diligence) ke atas pelaburan lemah, hingga merugikan pelaburan dilakukan.

Berdasarkan isu tadbir urus terbabit, entiti awam menghadapi cabaran besar dalam usaha menghasilkan keseimbangan antara tanggungjawab terhadap masyarakat sebagai 'pemilik sebenar' dengan campur tangan kerajaan.

Disebabkan entiti awam tidak dimiliki secara langsung oleh pemegang saham atau pendeposit, orang awam tidak dianggap sebagai pemilik bersama entiti awam ini dan sering diketepikan dalam pembuatan keputusan.

Sudah tiba masanya kerajaan membabitkan peranan orang awam dalam pembuatan keputusan entiti awam ini.

Ini termasuk mengikuti garis panduan MCCG 2021 terbaru, iaitu dengan tidak membabitkan pelantikan ahli politik dalam pentadbiran entiti awam. Selain itu, terdapat juga keperluan mengehadkan kuasa kerajaan dalam melantik pengerusi dan ahli lembaga pengarah dalam kalangan ahli politik.

Bagi tujuan ini, sebuah jawatankuasa bebas melapor terus kepada Yang di-Pertuan Agong disarankan untuk memilih dan melantik ahli lembaga pengarah entiti awam kompeten dan juruaudit berkelayakan.

Laporan tahunan harus dibentangkan untuk orang awam, terutama pendeposit dan dibentangkan semula di Parlimen untuk perbahasan dan persetujuan.

Oleh itu, kerajaan dan pembuat dasar seharusnya mengikuti saranan garis panduan MCCG 2021 ini untuk mengurangkan birokrasi dan campur tangan kerajaan.

Pada masa sama, orang awam perlu dibabitkan dalam proses pembuatan keputusan dibuat entiti awam untuk meningkatkan amalan tadbir urus cekap yang secara tidak langsung dapat bertanggungjawab terhadap akauntabiliti awam.

Penulis adalah Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.