https://critoxium.com/shop/

Terkini

Jangan sampai Raja murka


Oleh ATRIZA UMAR

Sedari kecil, sejak di bangku tadika atau sekolah lagi kita telah diajar berikrar, melafazkan Rukun Negara.

Masih saya ingat lagi, selesai saja menyanyikan lagu Negaraku, semua pelajar perlu mengikut ikrar yang dibacakan oleh Ketua Pengawas di hadapan perhimpunan, dengan tegas dan sesungguhnya:

• Kepercayaan Kepada Tuhan
• Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
• Keluhuran Perlembagaan
• Kedaulatan Undang-undang
• Kesopanan dan Kesusilaan

Masihkah kita mengingatinya? Boleh jadi mereka yang seangkatan usia saya melalui situasi begitu ketika berhimpun pada awal minggu persekolahan, iaitu pada hari isnin. Betapa sedari awal usia di bangku sekolah, kita telah didedahkan mengenal dan berikrar (percaya dan meyakini) dengan lima Prinsip Rukun Negara itu.

Namun, sejauh mana kita semua, dari pemimpin hingga rakyat jelata, tidak kira golongan ‘kayangan’, netizen, marhaen mengaplikasikan prinsip tersebut dalam kehidupan?

7 perkara utama usul Raja-Raja Melayu

Sebagaimana kita ketahui, telah berlangsungnya Mesyuarat Khas Raja-Raja Melayu yang diadakan di Istana Negara, Kuala Lumpur pada jam 2.30 petang, 16 Jun 2021.

Sebelumnya, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, telah berkenan menerima menghadap 18 pemimpin politik kerajaan dan pembangkang secara bersemuka dan maya bermula 9 Jun hingga 15 Jun 2021.

Dan ini merupakan kali kedua perbincangan khas Raja-Raja Melayu diadakan sejak Al-Sultan Abdullah menaiki takhta pada 31 Jan 2019, yang mana mesyuarat pertama berlangsung pada 25 Oktober 2020.

Perjumpaan yang dihadiri oleh sembilan Raja Melayu itu telah mencambahkan pandangan dan menzahirkan pendapat secara terbuka lagi berterus terang bersama semangat saling menghormati.

Dalam pertemuan itu, Raja-Raja Pemerintah mengemukakan tujuh perkara utama yang berbalik kepada kemaslahatan negara dan rakyat yang perlu ditangani segera iaitu:

1. Negara sedang menghadapi wabak Covid-19 dengan angka jangkitan harian yang besar meskipun telah berada dalam pemerintahan darurat.

2. Keadaan ekonomi dan kewangan negara yang membimbangkan.

3. Suasana politik negara yang tidak stabil.

4. Perpaduan rakyat yang semakin retak.

5. Kesusahan yang sangat dihadapi oleh rakyat yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.
6. Suasana pekerjaan, suasana hidup dan suasana pembelajaran di sekolah dan pusat-pusat pengajian yang terjejas dan menimbulkan pelbagai kerumitan.

7. Umat Islam yang tidak dapat melakukan program-program ibadah di masjid dan surau terutama untuk menunaikan Solat Jumaat.Demikian juga penganut-penganut agama lain yang turut terhalang daripada berpeluang melakukan urusan agama masing-masing.

Sampai bila nak berdolak-dalik lagi?

Kepentingan dan maruah institusi berparlimen yang telah diragut oleh kepimpinan negara ketika ini sangat memberikan impak yang tidak baik bagi terhadap sistem demokrasi yang hebat dilaungkan sebelum ini.

Sewajarnya kerajaan yang ada sekarang mengambil sikap lebih telus dengan menerima hakikat bahawa keadaan rakyat dan negara sudah semakin teruk. Sebagaimana Raja-Raja Melayu dalam pertemuan semalam bersepakat;

1. Nyawa dan kehidupan rakyat wajib diutamakan mengatasi perkara-perkara lain.

2. Program vaksinasi hendaklah dipertingkatkan dengan mengurangkan karenah birokrasi

3. Program menangani wabak Covid-19 hendaklah difahami serta mendapat sokongan rakyat tanpa menimbulkan
sebarang keraguan dan tanpa dianggap mempunyai sebarang muslihat politik yang terselindung.

4. Kaedah menangani wabak Covid-19 hendaklah bersifat inklusif, melibatkan pelbagai pihak yang berkepentingan dalam semangat yang sedia mendengar, mempelajari, sedia melakukan pengubahsuaian, penambahbaikan dan sedia melakukan penerokaan baharu hingga berjaya meyakinkan dan mendapat kerjasama penuh rakyat pelbagai peringkat.

5. Suhu politik yang semakin panas wajib diredakan.

6. Pentingnya sebuah kerajaan yang stabil dan mendapat keyakinan serta mendapat sokongan majoriti rakyat.

7. Tidak ada keperluan meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos
2021 agar mencapai matlamat imuniti kelompok 80 peratus secepat mungkin.

Jangan nafikan titah Raja

Melihat kepada ulasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Tuanku hanya berpandangan supaya sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.

Walaupun dalam kenyataan Yang di-Pertuan Agong menyatakan agar persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin, dapat lihat di sini seakan Takiyuddin mempertikaikan saranan Majlis Raja-Raja Melayu itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata bahawa Parlimen boleh bersidang sekitar September atau Oktober, juga bertepatan dengan saranan ;secepat mungkin; yang dizahirkan Al-Sultan Abdullah.

Seharusnya beliau mengambil sikap menyarankan Perdana Menteri mengadakan segera sidang Parlimen, bukan membalas dengan pandangan beliau yang seakan mahu bertangguh daripada melaksanakan titah tersebut.

Daripada kenyataan Takiyuddin itu juga dapat dirumuskan bahawa dirinya seakan menidakkan apa yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu, itu.

Justeru, kita sebagai rakyat perlulah bersuara menzahirkan amarah dengan menteri ini yang
membuat kenyataan sedemikian yang ingkar kepada titah Raja.

———————–
Penulis ialah Pegawai Penerangan dan Perhubungan
Pertubuhan IKRAM Malaysia

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.