https://critoxium.com/shop/

Terkini

Risau syarikat produksi 'gulung tikar'

 


KUALA LUMPUR: Bimbang kemungkinan banyak syarikat produksi 'gulung tikar' andai kebenaran meneruskan kerja penggambaran hanya diperoleh September depan berdasarkan pengumuman Pelan Pemulihan Negara, Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli mengutus surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Melalui surat bertarikh 17 Jun lalu, Jurey Latiff menjelaskan realiti sebenar sektor industri kreatif selain memohon kerajaan menimbang agar industri kreatif dibenarkan beroperasi pada fasa kedua Pelan Pemulihan Negara, bulan depan.

"PTVM mengalu-alukan pengumuman Pelan Pemulihan Negara dan menyokong sepenuhnya sebarang langkah terbaik untuk membebaskan Malaysia daripada pandemik COVID-19.

"Sekarang semua syarikat produksi dan warga kreatif akur dengan arahan kerajaan agar menghentikan semua aktiviti penggambaran dalam tempoh 'lockdown' biarpun ia merugikan dan menjejaskan pendapatan kami.

"Namun, melalui pembentangan Pelan Pemulihan Negara, jangkaan kami, aktiviti penggambaran hanya boleh dimulakan September depan, iaitu tiga bulan lagi.

Jurey Latiff merayu kerajaan membenarkan syarikat produksi meneruskan kerja penggambaran, bulan depan. Foto Ihsan Jurey Latiff Rosli
Jurey Latiff merayu kerajaan membenarkan syarikat produksi meneruskan kerja penggambaran, bulan depan. Foto Ihsan Jurey Latiff Rosli

"Tempoh itu sangat membebankan kami dan berkemungkinan banyak syarikat produksi akan 'gulung tikar'," katanya kepada BH Online.

Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, sekurang-kurangnya dua syarikat produksi yang menyediakan kandungan drama untuk stesen televisyen (TV) terpaksa menghentikan penggambaran biarpun drama sedang ditayangkan.

Berikutan itu, penyiar terpaksa menghentikan tayangan drama terbabit sehingga menanti kerajaan membenarkan aktiviti penggambaran diteruskan.

Dua drama yang menerima nasib itu adalah Kekasih Hati Mr Bodyguard dan Cukup Derita Itu yang masing-masing disiarkan TV3.

Jurey Latiff berkata, kesediaan kerajaan membuka sektor ekonomi tertentu bulan depan sangat dialu-alukan di mana ramai pekerja dapat kembali bertugas dan perniagaan diteruskan.

"Kami merayu kerajaan memasukkan sektor industri kreatif sebagai bidang yang dibenarkan beroperasi pada fasa kedua Pelan Pemulihan Negara, bulan depan," katanya.

Tambah Jurey Latiff, setakat ini, tidak ada kluster COVID-19 tercetus daripada aktiviti industri kreatif termasuk di lokasi penggambaran.

Sehubungan itu, Jurey Latiff memperincikan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan syarikat produksi ketika penggambaran melalui surat berkenaan.

"Langkah ini bagi memberi kefahaman kepada pihak berkaitan yang salah faham mengenai cara kami bekerja.

"Kami juga khuatir setiap keputusan dibuat dipengaruhi pihak yang tidak memahami cara industri kreatif bekerja.

"SOP dan suasana kerja kami jauh lebih selamat dan senang dikawal berbanding sektor perkilangan atau peruncitan yang sudah dibenarkan beroperasi," katanya.

Sehubungan itu, Jurey Latiff berharap rayuan PTVM dipertimbangkan Perdana Menteri; Majlis Keselamatan Negara (MKN); Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI); Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM); Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan pihak lain.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.