https://critoxium.com/shop/

Terkini

Arak dan judi

You setuju ke kalau suami you kaki judi? I tanya you dulu.”

Demikianlah reaksi Idris Ahmad, menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ketika berdepan dengan wartawan yang mengajukan soalan berhubung pengharaman kedai nombor ekor di Kedah.

Dalam aspek moral, majoriti masyarakat kita adalah konservatif, sama ada komuniti muslim mahupun bukan muslim. Andainya ditanya kepada seorang bukan muslim, “Apakah kamu mahu anak kamu berada di kelab malam, atau pub sehingga larut malam?” Jawapan yang ditemui biasanya “tidak”. Maka soalan selanjutnya, “Jadi, mengapa anda tidak sokong untuk mengharamkan kelab malam atau pub?”

Sudah tentu kebanyakan muslim gagal memahami logik atau mentaliti bukan muslim ini. Andai boleh diumpamakan, mungkin soalan sebegini boleh diajukan kepada seorang muslim, “Adakah anda mahu anak kamu merokok?” Jawapannya boleh dijangkakan. Apakah kita mahu menyusul dengan soalan, “Habis, mengapa tidak mengharamkan rokok?”

Izinkan saya menyatakan terlebih dahulu, bahawa saya menghormati pegangan agama masing-masing, dan apa yang saya tulis, BUKAN untuk memujuk, jauh lagi memaksakan pandangan peribadi saya kepada mana-mana komuniti. Saya keberatan untuk menulis sebenarnya, kerana sedar bahawa tulisan sebegini mudah dituduh sebagai “cuba mempengaruhi masyarakat muslim”, atau “menyokong arak dan judi”.

Cuma saya beranggapan tulisan ini mungkin perlu, kepada mereka yang ingin memahami mengapa masyarakat bukan muslim melenting ketika judi dan arak cuba disekat. Tidak adil juga dikatakan bahawa judi dan arak budaya Cina atau India, kerana ia mungkin dilihat sebagai imej stereotaip yang dilabel terhadap kedua-dua etnik minoriti, dan boleh mengundang protes.

Untuk masyarakat muslim yang tidak pernah berjudi dan minum arak sepanjang hayatnya, mereka perlu tahu bahawa tidak semua yang membeli nombor empat ekor akan menggadaikan segala hartanya untuk tujuan itu, dan tidak semua yang minum arak akan berakhir dengan kemabukan, memukul isteri, atau melanggar pengguna jalan raya yang lain.

Sesungguhnya, seringkali kita terbaca berita sebegitu, namun ia bukan berita apabila seseorang menaiki Grab untuk pulang ke rumah selepas minum, atau kembali ke pejabat tepat pada masanya pada keesokan hari. Dengan kata lain, judi dan arak tanpa mengganggu ketenteraman masyarakat, atau tanpa mencabul hak orang lain, masih sesuatu yang normal dalam kalangan penjudi dan peminum.

Judi dan arak pada tahun baru

Malah, dalam kalangan komuniti Cina, sungguhpun menyedari bahawa judi dan arak boleh mengundang kesan negatif, tetapi amalan ini dibenarkan, khususnya sebagai aktiviti sosial ketika menyambut tahun baru, misalnya. Ini kerana untuk mereka, aktiviti berjudi atau minum arak pada kadar yang terkawal, merupakan sesuatu yang mendatangkan kegembiraan, atau memeriahkan suasana.

Pernah saya terbaca satu tulisan, menjelaskan mengapa berjudi dalam kalangan anggota keluarga, seolah-olah menjadi “tradisi” ketika tahun baru Cina. Bagi keluarga Cina yang memiliki bisnes sendiri, ketua rumah sudah tentu berdepan dengan keraguan ketika menentukan anak manakah yang layak mewarisi bisnesnya. Maka di sini pemilik bisnes mengintai gelagat anak-anaknya ketika berjudi. Sejauh mana mereka berani mengambil risiko? Siapa pula yang sudah tahu nasibnya tidak baik, namun tetap meneruskan pertaruhan sehingga hilang kesemua duit angpaunya? Ia penting kerana gelagat berjudi mencerminkan perwatakan seseorang. Bahaya diserahkan bisnes keluarga kepada anak yang gagal mengawal diri ketika bertaruh di atas meja judi, bukan?

Ini mungkin kisah lama, tetapi ada benarnya jikalau dikatakan “gelagat seseorang ketika berjudi mencerminkan perwatakannya”. Begitu juga dengan pengambilan minuman keras. Tahap “ketahanan” alkohol berbeza mengikut individu. Ada yang kekal waras selepas berbotol-botol diteguk, ada pula yang terus pening belumpun setengah gelas dihabiskan.

Tahap mabuk pun berbeza. Ada yang mula menaikkan suara ketika sembang, ada yang teringin menari, ada yang mula merapu… macam-macam! Bayangkan, andainya anda bos yang membawa staf anda untuk minum, anda boleh meneliti perwatakan staf anda setelah satu dua pusingan minuman keras. Siapa yang tahu batas “ketahanan alkohol” dirinya, mengawal dirinya agar tidak mencecah tahap merepek selepas minum? Siapa pula yang sudah melepasi batas “ketahanan alkohol”, tetapi masih mahu minum, dan bercakap yang bukan-bukan selepas mabuk? Untuk staf sebegitu, baik jangan dimaklumkan rahsia penting syarikat anda kepadanya, kerana dia tidak tahu batas dirinya, dan dia mudah terlajak dan terlanjur kata.

Bukan muslim tidak rigid

Sekali lagi, saya ingin menegaskan bahawa tulisan ini bukan untuk menghalalkan judi dan arak, tetapi sekadar menawarkan satu perspektif untuk menjelaskan mengapa “ia bukan dosa yang besar” dalam kalangan bukan muslim. Ya, judi dan minum arak adalah amalan yang tidak digalakkan, tetapi sebahagian besar masyarakat bukan muslim tidak rigid dalam hal ini.

Falsafah di sebaliknya, mungkin bukan muslim akur bahawa dunia ini sarat dengan godaan yang pelbagai, dan mustahil dosa-dosa ini dihapuskan sepenuhnya dari masyarakat kita. Kedai nombor empat ekor boleh ditutup premisnya, tetapi perjudian dalam talian tetap berleluasa. Minuman arak boleh disekat penjualannya, malah diharamkan, tetapi apakah ia mampu menyahkan alkohol dari bumi ini?

Berbalik kepada soalan awal. Kebanyakan ibu bapa bukan muslim tidak ingin anak-anak mereka berkeliaran di pub sehingga larut malam, tetapi menolak andainya kelab malam dan pub diharamkan sepenuhnya. Untuk mereka, lebih baik anda tidak pergi kerana anda memilih untuk tidak pergi, dan bukannya anda tidak pergi kerana pub telah ditutup.

Dengan kata lain, kewujudan premis “berdosa” ini, mengasuh kekentalan jiwa. Anda diuji, dan anda harus membuktikan bahawa diri anda teruji. Ada yang memilih tidak pergi, tidak minum, tidak judi; ada pula yang memilih untuk mencuba, tetapi sentiasa mengawal nafsu dan batasnya. Jikalau teruji, maka satu hari nanti apabila diberikan pilihan, mereka tetap sedar di mana batasnya dan bagaimana untuk mengawal dirinya.


Ia berbeza dengan falsafah yang mahu mengharamkan dosa-dosa ini sepenuhnya. Ini kerana realitinya, jikalau seseorang tidak menonton filem lucah di tanah air kerana filem lucah telah diharamkan, dia tetap akan menontonnya ketika menginap di hotel atas bumi Jerman, misalnya, dan maaf kalau kebetulannya. Diuji dan tidak teruji namanya. Cuma, dalam dunia pada zaman ini, apakah kita mampu mengharamkan segala yang dianggap dosa dari kaca mata kita?

Akhir kata, kontroversi arak (Timah) dan judi (kedai nombor empat ekor) telah mencungkil sentimen masyarakat bukan muslim. Mereka gusar andainya amalan cara hidup mereka terkesan dengan dasar kerajaan. Sebagai kaum minoriti, mereka bimbang andainya hak mereka dihakis sedikit demi sedikit, dan dikambinghitamkan kerana pergelutan politik. Untuk mereka, semalam arak, hari ini judi, esok babi?

Saya menghormati dan mengambil kira sensitiviti masyarakat muslim dalam hal ini, tetapi kita telah ditakdirkan hidup bersama atas tanah air ini. Sebarang tindakan drastik tanpa rundingan dan muafakat melibatkan semua komuniti, boleh mencetuskan ketidakpuasan, dan akhirnya merobek hubungan harmoni antara etnik dan agama selama ini, bukan?


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.