Baru tengok jadual SPM sudah gundah-gulana
Sejak pandemik Covid-19 melanda negara awal tahun lalu, banyak norma baharu diperkenalkan dalam kehidupan seharian semata-mata untuk mengekang penularan virus yang telah meragut 30,063 nyawa penduduk negara ini.
Malah sesi persekolahan turut terganggu, sekolah ditutup dan pembelajaran hanya berjalan dalam talian. Akibatnya peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga tertangguh. Tahun ini kali kedua SPM tidak diadakan pada tahun sama sebaliknya dibawa ke tahun depan.
SPM 2021 akan berlangsung dari 2 Mac hingga 20 Mac tahun depan dan jadual kertas terlibat juga sudah disusun dan dikeluarkan di portal Kementerian Pendidikan.
Namun segelintir calon peperiksaan sudah gundah-gulana melihat jadual tersebut yang disifatkan sebagai keterlaluan terutama diadakan berterusan setiap hari dari 6 Mac hingga 18 Mac 2022 termasuk pada hari Jumaat dan Ahad.
Ini dapat dilihat di laman sosial apabila calon peperiksaan menjadikannya sebagai tempat meluahkan kebimbangan mereka dan pelbagai pihak termasuk ibu bapa turut mengemukakan aduan kepada kementerian.
Jadual peperiksaan kali ini memang unik kerana diadakan waktu cuti penggal akhir persekolahan, berterusan setiap hari dan hari Jumaat serta Ahad pun ada kertas yang perlu diduduki.
Keadaan dipanaskan lagi dengan kenyataan pemimpin politik di media sosial yang menyifatkan jadual itu akan memberi tekanan kepada calon peperiksaan, memungkinkan ada yang sanggup membunuh diri.
Ayat itu juga meniti di bibir calon peperiksaan yang berharap pemimpin politik tersebut dapat membantu mereka.
Kenyataan itu tidak sepatutnya keluar daripada mulut seseorang yang boleh menjadi idola kepada anak muda. Apakah bunuh diri sahaja penyelesaian kepada setiap masalah yang timbul dan apakah generasi hari ini tidak mampu menangani tekanan peperiksaan.
Kalau itulah realitinya, segelintir anak muda negara ini seperti sudah menjadi rakyat Korea yang dengan mudah memilih mencabut nyawa sendiri apabila menghadapi tekanan hidup. Tetapi itu mudah difahami kerana ramai rakyatnya tidak mempunyai agama dan menolak kehidupan bertuhan.
Dalam hal jadual SPM 2021, masih ada tempoh tiga bulan lagi untuk calon-calon membuat persediaan. Tempoh tiga bulan ini yang sebenarnya lebih penting daripada rehat sehari ketika peperiksaan sebenar berlangsung nanti.
Nizam Abdul Hamid ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.