https://critoxium.com/shop/

Terkini

Siapa Exco Kerajaan Negeri Melaka


DEBARAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berakhir malam Sabtu lalu, namun persoalan berhubung pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) masih tergantung tanpa berita.

Jika kata-kata Ketua Menteri Melaka Ke-13, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali selepas Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan dijadikan sandaran, pengumuman mengenai perkara itu sepatutnya berlangsung selewat-lewatnya esok (Jumaat).

Tidak dapat dinafikan jadual Sulaiman dan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam agak padat minggu ini, memandangkan kedua-dua pemimpin itu perlu menghadiri beberapa mesyuarat penting antaranya Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-257 di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Berdasarkan struktur pentadbiran sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-14, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dianggotai 11 Pengerusi Jawatankuasa termasuk Ketua Menteri.

Utusan Malaysia difahamkan, tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) senior iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman; ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan ADUN Serkam, Datuk Zaidi Attan berkemungkinan akan dilantik sebagai Exco setelah mengambil kira kemampuan dan pengalaman masing-masing dalam pentadbiran.

Rahmad sebelum ini adalah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah manakala Muhammad Jailani pula merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan.

Begitu juga dengan ADUN Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh turut dijangka mengisi perjawatan portfolio kanan, berdasarkan kedudukannya selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka dan bekas Yang Dipertua DUN.

Selain itu, wakil rakyat tunggal MIC yang memenangi DUN Gadek, VP. Shanmugam dan ADUN Machap Jaya, Ngwe Hee Sem juga dilihat berpotensi untuk dilantik, kerana sebelum ini Sulaiman telah memberi bayangan, komposisi dalam kerajaan negeri baharu akan dianggotai pelbagai kaum bagi mewujudkan kestabilan, perpaduan dan penuh dengan semangat muhibah.

Ini kerana, ADUN Kelebang, Datuk Lim Ban Hong mustahil akan melepaskan jawatannya di peringkat Persekutuan selaku Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Justeru, Hee Sem yang juga Naib Ketua MCA Bahagian Alor Gajah merupakan calon tunggal parti itu untuk diangkat sebagai Exco mewakili kaum Cina.

Dalam pada itu, antara nama lain yang disebut-sebut dan berpotensi dilantik ialah ADUN Merlimau, Dr. Muhammad Akmal Saleh; ADUN Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan ADUN Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Noordin.

Muhammad Akmal dikatakan adalah individu paling cocok memegang portfolio kesihatan dan antidadah berdasarkan kelayakannya selaku pengamal perubatan.

Selain itu, Kalsom juga dijangka mengisi kekosongan yang ditinggalkan bekas ADUN Taboh Naning, Datuk Latipah Omar iaitu sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan. – UTUSAN

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.