Harga naik: Beri subsidi atau letak sebagai barang kawalan
PETALING JAYA: Kerajaan perlu meletakkan semua barangan keperluan harian yang sedang mengalami kenaikan harga di bawah senarai barangan kawalan bagi mengelak harga terus melambung tinggi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School (PBS) Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, ini kerana kenaikan harga beberapa barang ketika ini bukanlah satu fenomena biasa, malah berlaku di luar musim perayaan.
“Kenaikan harga yang tinggi sekarang disebabkan faktor gangguan kepada rantaian bekalan dunia akibat banyak sektor ekonomi kembali dibuka serentak dan pengeluar barangan menghadapi kekangan dalam memenuhi semua permintaan. Saya melihat kenaikan harga ini berkekalan sehingga awal tahun depan apabila pasaran global mula stabil.
“Kerajaan bagaimanapun wajar meletakkan barangan keperluan harian di bawah barangan kawalan atau memberi subsidi tetapi ia mestilah bersasar kepada golongan yang terkesan. Hasil cukai atas laba yang dikenakan ke atas minyak sawit sebagai contoh, boleh digunakan sebagai subsidi minyak masak untuk golongan B40,” katanya.
Namun, kata Ahmed Razman, isu kenaikan harga barang boleh ditangani dengan lebih baik sekiranya negara tidak terlalu bergantung kepada barangan import.
“Penyelesaian terbaik mestilah bersifat jangka masa panjang iaitu mengurangkan kebergantungan kepada barangan import terutama makanan. Dasar Agromakanan 2.0 harus dijadikan titik permulaan untuk maksud ini,” katanya.
Beliau mengulas mengenai kenaikan harga terhadap barangan keperluan harian seperti harga sayur, ayam, roti, harga alat ganti kenderaan dan sebagainya.
Dalam pada itu, pakar ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai menggesa kerajaan menyiasat punca kenaikan harga barang keperluan kerana beliau berpendapat, para peniaga sengaja mengambil kesempatan menaikkan harga, bukan atas faktor-faktor lain.
“Kenaikan harga bermula dengan harga minyak dunia, tetapi harganya tidaklah naik tinggi sangat. Harga barang pula naik tinggi sehingga dua kali ganda, ini tidak munasabah.
“Kalau dilihat dengan teliti, peniaga sebenarnya mengambil peluang ini menerusi kos melepas untuk mengaut keuntungan lebih bagi menampung kerugian mereka ketika sekatan pergerakan sebelum ini.
“Jadi, kerajaan perlu menyiasat kenaikan harga ini sama ada ia dimanipulasi oleh pengeluar atau pengimport atau peniaga,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.