PH Sarawak kritikal, beri kelebihan parti lain
PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) Sarawak yang dilihat dalam situasi kritikal sehingga parti komponennya bakal bertanding menggunakan logo masing-masing dijangka memberi kelebihan kepada parti-parti lain yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 pada 18 Disember depan.
PH mengumumkan gabungan itu akan bertanding di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dengan pemilihan calon juga ditentukan parti komponen masing-masing.
Bagaimanapun, Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, gabungan itu tidak memberi fokus terhadap perkara yang berlaku kepada parti lain, sebaliknya memfokuskan apa yang terbaik untuk rakyat Sarawak.
“Kami (GPS) tak fokus pada (parti lain). Fokus kami ialah laksanakan apa yang terbaik untuk rakyat Sarawak dan itu sasaran kami jika PH diberi mandat nanti. GPS ada keyakinan pada PRN Sarawak kali ini.
“Setakat ini, kita sudah buktikan bahawa kita bekerja untuk rakyat Sarawak. Maka sebab itu, saya kira PH sudah hilang keyakinan dan terpaksa balik kepada logo masing-masing,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sama ada keadaan PH Sarawak yang dilihat kritikal memberi kelebihan kepada parti lain atau sebaliknya.
Khamis lepas, PH Sarawak memutuskan bahawa setiap parti komponennya akan menggunakan logo masing-masing di setiap kerusi DUN ditandingi pada PRN kali ini.
Pengerusi PH Sarawak, Chong Chieng Jen sebelum ini berkata, pihaknya memutuskan untuk setiap parti komponennya iaitu DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) menentukan calon di kerusi masing-masing yang sudah diagihkan.
DUN Sarawak dibubarkan pada 3 November lalu selepas Yang di-Pertuan Agong berkenan membatalkan darurat di seluruh negeri pada hari yang sama, yang membuka laluan kepada PRN yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.
Suruhanjaya Pilihan Raya yang bermesyuarat memutuskan PRN Sarawak Ke-12 diadakan pada 18 Disember ini dengan hari penamaan calon pada 6 Disember, manakala hari mengundi awal pada 14 Disember.
Tempoh berkempen 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 6 Disember 2021 (Isnin) sehingga pukul 11.59 malam, 17 Disember 2021 (Jumaat).
Dalam pada itu, Fadillah yang juga Ketua Whip GPS di Parlimen berkata, fokus PRN kali ini adalah meneruskan perjuangan GPS memandangkan masih banyak yang perlu dilakukan di negeri itu.
Antaranya, kata beliau, melengkapkan segala infrastruktur di Sarawak supaya perhubungan di negeri itu terus dipertingkatkan sedikit demi sedikit.
“Saya kira mana kawasan yang belum nanti akan diberi tumpuan bagi memastikan mereka ada bukan sahaja jalan, tetapi juga kemudahan asas akan dipertingkatkan. Memandangkan Sarawak ini negeri besar, maka masih banyak perlu kita lakukan.
“Tunggulah pelancaran manifesto nanti, akan diketahui lebih jelas apa yang dibentangkan, apa yang kita (bawakan) di samping apa yang telah kita lakukan,” jelasnya.
Sementara itu, penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, penggunaan logo berasingan oleh PH Sarawak bukanlah sesuatu yang baru, malah ia pernah dilakukan sebelum ini.
Oleh itu, menurut beliau, perkara yang berlaku itu adalah satu keunikan yang ditonjolkan kerana mereka secara uniknya PH Sarawak mempunyai autoriti dari segi kebebasan dalam pelbagai perkara termasuk dalam hal penggunaan logo.
“Ini bagi saya bukanlah satu isu besar kerana inilah kebebasan PH dalam konteks di Sarawak seperti dari segi pemilihan calon, penggunaan logo dan pemilihan dalaman parti sendiri, mereka mempunyai autoriti tertentu,” katanya.
“Namun, kita tahu pembangkang atau PH bukan satu ancaman besar kerana kedudukan GPS di Sarawak sangat kuat, ampuh dan agak sukar ditembusi khususnya pelbagai bantuan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak ketika Covid-19, jadi ia memberi kelebihan pada GPS.
“Banyak bantuan-bantuan sampai ke peringkat akar umbi dan ditambah
dengan program Kerajaan Persekutuan, pakej rangsangan, jadi semua ini
memberi kelebihan besar kepada GPS menjadi blok parti yang kekal menjadi
kerajaan selepas PRN itu berakhir nanti,” katanya.- UTUSAN
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.