https://critoxium.com/shop/

Terkini

Isu harga barang yang tak berkesudahan


SEJAK kebelakangan ini, isu kenaikan harga barang terutamanya bahan mentah termasuk ayam, sayur dan telur ayam sekali gus menjadi antara topik yang hangat diperkatakan di media sosial.

Kenaikan harga barang keperluan utama dapur ini sememangnya sangat memeranjatkan pengguna kerana harga barang yang dijual ketika ini selalunya berlaku pada musim perayaan sahaja.

Penulis berkesempatan bertanyakan beberapa peniaga ayam di sekitar daerah Hulu Terengganu dan dimaklumkan bekalan ayam tidak mencukupi di pasaran sehingga mereka terpaksa ‘berebut’ sesama sendiri hanya untuk mendapatkan bekalan sehingga terpaksa menjual dengan harga mahal.

Penulis bukan sekadar bertanyakan permasalahan ini kepada peniaga runcit, malah turut bertanyakan kepada pemborong ayam dan jawapan sama turut diberikan mereka.

Bekalan ayam tidak mencukupi sehinggakan ada sebahagian daripada mereka terpaksa menutup cawangan kerana tidak ada ‘barang’ hendak dijual.

Sebelum ini juga, ramai pembekal ayam mendedahkan bahawa harga dedak yang mahal menyebabkan kenaikan harga daging ayam itu.

Jadi mahu tidak mahu dari peringkat penternak lagi mereka terpaksa menaikkan harga bagi menampung kos operasi.
Disyorkan artikel ini:

    Bawang turut dikesan naik harga
    Rakyat terus terbeban masalah harga barang
    Harga telur ayam naik sehingga RM2 sepapan
    Kaut untung besar jual barang tiruan
    Kaut untung guna jenama orang lain

Namun bagi peniaga mereka tidak mahu tahu isu harga kenaikan dedak tetapi menggesa pihak berkaitan menangani masalah terbabit yang dilihat tidak berkesudahan.

Setiap kali harga ayam naik, mesti ia dikaitkan dengan harga dedak yang meningkat. Skrip sama setiap tahun sehingga peniaga juga boleh mengagak jawapan daripada pembekal.

Diakui isu kenaikan harga barang mentah sudah berlaku sejak dulu lagi. Tidak kira kerajaan mana yang mentadbir, masalah ini sering timbul. Yang menjadi mangsa adalah pengguna yang tiada pilihan. Mahu tidak mahu terpaksa juga membeli. Terbeban

Kenaikan harga barang mentah juga membebankan peniaga makanan yang terpaksa menaikkan kos kerana tidak mahu terus menanggung rugi.

Beberapa peniaga kedai makan yang ditemui penulis mengakui kenaikan bahan mentah boleh dikatakan hampir setiap bulan berlaku dan situasi ini secara langsung memberi kesan kepada mereka yang setiap hari memerlukan bahan mentah berkenaan.

Peniaga dalam dilema kerana jika mereka menaikkan harga makanan, pengguna akan terbeban. Namun jika mereka masih mengekalkan harga lama, dikhuatiri perniagaan makanan mereka pula akan terjejas.

Secara peribadi, penulis berpendapat apa salahnya pihak terlibat mencari punca sebenar mengapa permasalahan ini masih berlaku memandangkan setiap kali diajukan mengenai perkara ini pasti skrip sama akan diulang sehinggakan masing-masing sudah boleh menghafal jawapan yang bakal diterima mereka.

Mungkin pihak berkenaan boleh melakukan satu kaji selidik dengan pihak berkaitan bagaimana cara untuk mengatasi masalah harga dan bukannya setakat memberi jawapan sama setiap kali isu kenaikan harga barang berlaku saban tahun.

Namun tindakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam memantau harga barang mentah juga dipuji kerana pantas memberi maklum balas.

Sebagai contoh isu kenaikan harga roti jenama Gardenia yang dilaporkan akan meningkat bermula 1 Disember, Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan, pihaknya akan memanggil pihak syarikat itu untuk memperoleh maklumat mengenai punca kenaikan harga produk berkenaan.

Mengulas harga ayam dan sayur-sayuran, beliau berkata, peningkatan kos operasi syarikat penternakan, kos import, kenaikan harga baja dan racun merupakan antara punca yang menyumbang kepada kenaikan harga produk itu di pasaran ketika ini.

“KPDNHEP akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dalam usaha mengawal harga jualan serta harga runcit khususnya di peringkat pengeluaran,” kata beliau.

Diharap pihak kementerian dapat menangani masalah ini daripada terus membebankan pengguna. Tidak mahu isu harga naik ini seperti lagu Bangau oh bangau yang tiada berkesudahan.

* Rubiah Omar ialah wartawan Sinar Harian Terengganu

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.