RM4.5 juta untuk panda, 0 ringgit untuk Harimau Malaya
Anggota parlimen DAP dan PAS mempersoalkan ketiadaan peruntukan untuk Pusat Pemuliharaan Harimau Kebangsaan (NTCC) dalam Belanjawan 2022.
Cha Kee Chin (Rasah-DAP) berkata setiap tahun lebih kurang RM4.5 juta diperuntukkan untuk konservasi panda.
“Ya betul, kita ada perjanjian antarabangsa dengan Cina berkenaan panda yang ditempatkan di zoo negara.
"Dan saya sendiri menyambut baik kerana ia tarikan pelancongan. Saya sendiri pernah pergi dua kali zoo negara, ia boleh bantu zoo negara jana keuntungan.
“Pusat Pemuliharaan Harimau Kebangsaan, tahun lepas (peruntukan) RM1.7 juta, tahun sebelum tu RM1 juta. Tahun ini kosong. Saya nak tanya, kenapa?
“Saya setuju kita lindungi panda tapi jangan ini harimau made in Malaysia kita pinggirkan,” katanya.
Dia memohon campur tangan menteri dan mengingatkan supaya jangan kera di hutan disusukan, anak sendiri di rumah kebuluran.
Sementara itu, Shaharizukirnain Abdul Kadir (Setiu-PAS), berkata kajian National Tiger Survey mendapati bilangan Harimau Malaya yang direkodkan kurang daripada 200.
Katanya, data ini menunjukkan bilangan populasi yang amat membimbangkan dan boleh membawa kepada kepupusan dalam tempoh lima tahun.
“Soalan saya, kenapa tiada bajet peruntukan bagi peruntukan ini bagi tahun 2022?” soalnya.
“Jika pusat telah pun siap dibina 100 peratus namun tidak mustahil peruntukan tambahan diperlukan setelah dibenarkan pengoperasiannya.”
Abdul Latiff Abdul Rahman (Kuala Krai-PAS) pula bertanya adakah tiada peruntukan diberikan kerana bilangan Harimau Malaya bertambah.
“Kenapa perkara ini berlaku? Adakah harimau sedang bertambah sebab itu tiada peruntukan?”
Menteri perjelas
Sementara itu, dalam ucapan penggulungan, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan memberi maklum balasnya.
“Untuk makluman, NTCC satu projek yang telah siap sepenuhnya. Dan NTCC ini satu tempat dgunakan dan dibina dengan pagarnya untuk tujuan lepaskan harimau-harimau ini.
“(Ia) dipanggil rewilding, dari buat tempat rehab di Sungkai dan beberapa tempat akan dilepaskan di NTCC. Sebab itu tahun ini tiada peruntukan.”
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.