Jika perasuah datang warung
Oleh Faisal Tehrani
Jika saya memiliki sebuah warung, yang menjual pelbagai makanan sedap siap cencaluk, dan saya diberitahu yang perasuah paling besar akan datang menjamu selera di gerai saya itu, apa yang akan saya lakukan?
Saya tidak akan teragak-agak untuk tidak mengizinkannya masuk ke
dalam warung saya. Orang Melayu, pantang mempersilakan masuk perompak
dan penyamun ke dalam rumah, apatah lagi untuk dibawa ke kedai makan
milik sendiri, sambil dijamu percuma. Pantang. Melayu bacul yang tiada
harga diri akan buat begitu. Saya akan malah mengusirnya dengan penyapu,
hawau lahanat akan terlafaz dari mulut ini.
Saya tidak akan sama sekali tidak terkilan untuk memasak dan membawa talam makanan terbaik saya untuk jamuan perasuah. Saya tidak tahu bagaimana akan menjawab dengan Tuhan di hari akhirat nanti. Lainlah kalau penjenayah itu melarat dan nazak akan mati, itu menjadi satu salah buat saya jika tidak memberinya makan. Ini kerana anjing yang lapar harus diberi makan. Namun, jika penjenayah itu dalam keadaan kenyang dan kembung, malah angkuh tanpa rasa bersalah, itu memang menjadi kecelakaan kepada warung saya untuk membawanya masuk.
Saya tidak mahu kehilangan pelanggan. Kerana barang diingat pelanggan datang bukan kerana sangat makanan saya lazat dan sedap, tetapi kerana rezeki dan keberkatan itu dibubuh oleh Yang Maha Pemurah dalam daftar rezeki-Nya. Saya tidak akan mencemar keberkatan rezeki yang dilorongkan di gerai saya itu dengan menjemput kaki dan tokoh rasuah.
Memang saya berniaga. Maka perniagaan saya itu, meskipun warung kecil-kecilan (tapi sedap dan tular) adalah satu usaha mencari rezeki. Dalam agama saya merebut dan mengumpankan rezeki yang halal lagi baik itu amat dituntut. Malah agama saya menganjurkan agar berusaha mendapatkan rezeki dengan mengikut landasan ajaran yang sebenarnya. Ini supaya rezeki yang diperolehi itu tidak dicemari dengan perkara-perkara yang menyalahi hukum syarak, etika dan moral.
Saya tidak mahu menerima sosok apatah lagi menghidangkan makanan terbaik saya kepada penyangak. Apatah lagi jika penyangak itu melakukan rasuah. Dalam ajaran agama saya, diberi ingat supaya tidak meladeni syaitan. Dalam surah Al-Baqarah ayat 168 terjemahannya ada berbunyi begini:
“Wahai manusia! Makanlah makanan daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu ialah musuh nyata bagi kamu.”
Oleh sebab syaitan itu musuh nyata, mereka yang menjadikan syaitan puja-puji juga akan saya golongkan sebagai iblis syaitan. Saya tidak akan membuka pintu kepada syaitan. Mana ada orang buka pintu kedainya menjemput masuk syaitan?
Dalam khutbah-khutbah Jumaat yang saya dengar dengan akur dari mimbar masjid tua berdekatan warung saya itu, agak sering khatib terjerit pekik menyerukan agar menolak rasuah, seraya mencaci mencerca perasuah, dan tegas mengingatkan jangan memilih perasuah sebagai pemimpin.
Orang yang melakukan rasuah itu – jika mereka pemimpin – mereka adalah pengkhianat kepada amanah. Allah mencegah saya menyambut mesra pengkhianat. Sekali khianat seratus kali lahanat. Tuhan memberitahu saya, dalam surah Al-Anfal ayat 27 (terjemahannya):
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah mengkhianati Allah dan rasul-Nya, dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah (yang diamanahkan kepada) kamu sedang kamu mengetahuinya.”
Mana saya akan taruh muka saya dalam kubur kelak kalau malaikat bertanyakan, mengapa saya melayani rombongan penyangak dan penyamun dan perasuah untuk menjamu selera di warung saya?
Malaikat dalam kubur akan mengingatkan yang khatib dari mimbar masjid berdekatan warung saya ada melalak-lalakkan beberapa kali Jumaat, memesan bahawa Allah dan rasul-Nya abadi selama-lamanya melaknat pemberi, penerima, dan pengantara perbuatan rasuah.
Adakah saya boleh mengambil ringan sebarang laknat Allah itu? Lagipun saya gerun, kerana seseorang yang dilaknat oleh Allah itu adalah mereka yang sayup-sayup tidak nampak rahmat dan taufiq daripada Allah. Saya takut tidak mendapat rahmat dan taufiq semata-mata beroleh masyhur atau glamer sesen dua kerana melayani kaki rasuah dan korupsi.
Saya hanya mengharapkan rahmat serta segala kebaikan dan nikmat Allah. Pemberi dan penerima rasuah apatah lagi jika mari segerombolan, mereka tidak akan memberikan saya rahmat yang diperlukan. Khatib dalam khutbah Jumaat dari masjid yang memang tidak jauh dari gerai saya ada menyinga-nyinga menjerit-jerit menyatakan:
“Rasulullah bersabda, yang maksudnya: Daripada Abdullah bin Amru, katanya: Telah bersabda Rasulullah: Laknat Allah ke atas pemberi rasuah dan penerima rasuah.”
Takkanlah saya ingin melanggar hadis dan Al-Quran yang menyumpah perasuah, apatah lagi menghamun bapak atau kepala perasuah? Sebagai pengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah saya malu kalau saya membawa masuk perasuah dalam warung kecil saya. Tuhan kalau murka, ditariknya hidayah daripada wajah saya, bukan penyangak itu boleh menolong pun.
Jenayah rasuah bukan satu jenayah peribadi. Kalau ada tokoh main belakang dengan kekasih gelapnya di hotel jauh di Sabah sebagai misalan, itu dosa peribadi. Lantakkanlah dia. Kita dilarang mencari-cari. Akan tetapi rasuah itu lebih teruk dari makan babi dan sontot orang.
Perbuatan lahanat rasuah ini membawa musibah kepada masyarakat dan negara. Ini kerana negara kita kejatuhan moral atau maruah kalau kita membesarkan perasuah. Korupsi dan rasuah mengakibatkan ketidakadilan bahkan menafikan hak-hak orang tertentu. Kadang kala rasuah membuka jalan untuk melindungi dan menggalakkan jenayah lainnya. Perasuah meliwat hak masyarakat. Rasuah dan korupsi melontarkan kestabilan politik dan keselamatan ke dalam jurang. Ia jenayah kelompok yang melibatkan ramai orang. Ia bukan macam main belakang. Ia menyebabkan kesialan dan kecelakaan dalam umat.
Bagaimana saya akan memohon ampun daripada masyarakat terbanyak kalau saya sebagai pekedai membawa dan melayan intim perasuah di warung kecil saya yang ada makanan sedap-sedap.
Orang yang merasuah ini kata khatib dari mimbar masjid tidak jauh dari warung saya itu, melakukan rasuah kerana tiada keimanan dan ketakwaan. Bahkan baik lagi orang bukan Islam yang tidak percaya Tuhan daripada perasuah Islam yang konon percaya Tuhan tetapi sebenarnya penjahat. Saya tahu perasuah ini tidak boleh dipercayai kerana sebagai pemimpin hidupnya betul-betul mewah, padahal Nabi Muhammad yang saya kasihi itu mana ada tamak untuk hidup mewah, atau hidup senang dan mudah?
Ingat, saya adalah penganut Ahlus Sunnah wal Jamaah! Saya dah banyak kali naik haji dan umrah.
Ada hadis Rasulullah, bermakna;
“Daripada Jabir bin Abdullah, bahawasanya Nabi bersabda: Tidak akan memasuki syurga, daging yang tumbuh daripada yang haram, api neraka lebih utama baginya.”
Saya tidak mahu duduk dalam lapis neraka dengan pemimpin kaki rasuah. Saya tidak sanggup membayangkan saya menjadi pelayan kepadanya dalam neraka kelak, bila warung saya nanti duduk dalam Jahanam, menghidangkan bangkai rasuah.
Mereka, perasuah itu meneriak-neriak; ‘Nak pasir, nak pasir’. Sedang saya menghidangkan bangkai? Minta dijauhkan.
Saya hanya mengharapkan Allah. Amin Ya Rabbal Alamin. Saya bimbang menerima perasuah dalam warung saya. Pada surah Al-Baqarah ayat 188, terjemahannya begini:
“Dan janganlah kamu makan harta orang lain antara kamu dengan jalan yang batil, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu memberi rasuah kepada hakim-hakim supaya kamu dapat mengambil sebahagian daripada harta orang dengan cara berbuat dosa padahal kamu mengetahui salahnya”.
Itu saja cukup menjadi petunjuk untuk saya tidak meraikan perasuah. Bagaimana saya akan menjawab kepada Allah kelak bila Tuhan bertanya, “Kenapa engkau jamu si perasuah, padahal sudah engkau tahu dia merasuah, kerana mukanya ada tertera dalam laman web rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah?”
Dan Tuhan nanti akan menggasak saya lagi, “Dan engkau bangga sebagai Ahlus Sunnah Wal Jamaah!”
Ya Allah, ampunkan aku. Maafkan aku melayan dan menjamu perasuah. Aku tidak akan memilih dan berdamping dengan perasuah.
Aku takut dicambuk di neraka kelak, menjadi bahan bakar kayu api Jahanam.
Padahal aku Ahlus Sunnah Wal Jamaah!
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.