‘Kamu kurang matang, belajar lagi politik’, Wan Fayhsal diberitahu
PETALING JAYA: Seorang ahli Bersatu menyifatkan kenyataan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengenai peletakan jawatan Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang sebagai tidak matang.
Redzuan Yusof berkata, dakwaan ia langkah ‘strategik’ untuk melindungi Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Ahmad Samsuri Mokhtar daripada serangan berterusan Bersatu juga tidak berasas.
Beliau berkata, Ahli Parlimen Machang itu masih perlu ‘belajar politik’ dan memahami isu sebenar dalam pelantikan ketua pembangkang.
“Ini isu fundamental. Kalau seseorang itu tidak lagi bersama PN, maka secara prinsipnya dia tidak lagi layak menjadi ketua pembangkang.
“Kenyataan seperti ini menunjukkan kurang kematangan. Budak itu (Wan Fayhsal) kena belajar lagi dalam politik, itu sahaja,” katanya yang juga bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu kepada FMT.
Redzuan berkata, naratif dibawa Wan Fayhsal dilihat sengaja diwujudkan bagi mengangkat kedudukan individu tertentu serta mencetuskan perpecahan dalam Bersatu dan PN.
“Ini seolah-olah satu percaturan untuk memecah-belahkan. Sedikit-sebanyak ia sudah memberi kesan kepada kesatuan dalam Bersatu dan akan berterusan dalam PN.
“Pendekatan seperti ‘kalau saya tak dapat, orang lain pun tak dapat’ adalah politik kotor. Ia tidak membantu penyatuan ummah, sebaliknya merosakkan usaha memperkukuh kesatuan politik,” kata bekas Ahli Parlimen Alor Gajah.
Terdahulu, Wan Fayhsal menyifatkan peletakan jawatan Hamzah sebagai langkah ‘strategik’ bagi melindungi Samsuri daripada serangan berterusan, selain menuduh Bersatu mengamalkan ‘politik longkang’ kerana mempersoalkan kredibiliti pemimpin itu.
Beliau turut menyifatkan Hamzah berjiwa besar, dengan mendakwa Ahli Parlimen Larut itu mempunyai sokongan majoriti pembangkang untuk kekal sebagai ketua blok.
Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, menegaskan tanggapan Samsuri memerlukan perlindungan adalah tidak tepat.
“Bukan Samsuri yang perlukan perlindungan, tetapi Hamzah yang memerlukan perlindungan dan sokongan Samsuri,” katanya.
Katanya, tindakan Hamzah melepaskan jawatan itu wajar demi kelancaran dan keharmonian PN, memandangkan dia tidak lagi berstatus ahli Bersatu dan anggota PN.
“Jawatan ketua pembangkang tidak wajar menjadi punca polemik dan pertikaian, apatah lagi apabila mesyuarat Majlis Tertinggi PN telah memutuskan jawatan tersebut telah dikosongkan dan perlu diisi segera,” katanya.
Hubungan antara PAS dan Bersatu dilaporkan tegang sejak beberapa bulan kebelakangan ini, menyusuli kemelut politik Perlis yang menyaksikan jawatan menteri besar bertukar tangan awal tahun ini.
Samsuri, yang juga naib presiden PAS dilantik sebagai pengerusi PN bagi menggantikan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, yang meletak jawatan pada 1 Jan.
Ahad lalu, Samsuri mengumumkan PN akan menulis surat kepada speaker Dewan Rakyat bagi memaklumkan ketiadaan ketua pembangkang, menyusuli laporan Hamzah menghantar surat letak jawatan kepada kepimpinan tertinggi PN.



Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.