Kubu 'paling kuat' Umno mungkin tak lagi selamat
Tanjung Bidara terletak di pesisir pantai di barat laut Melaka, berhampiran sempadan Negeri Sembilan, telah sekian lama menjadi kubu kuat BN.
Tetapi ia bukan kubu kuat yang sembarangan. Pada PRU 2018, BN meraih hampir 60 peratus undi walaupun dengan pertembungan tiga penjuru - peratusan undi tertinggi yang dimenangi Umno di Melaka ketika itu.
Justeru, tidak pelik jika pengerusi Umno negeri, Ab Rauf Yusoh, membuat kemunculan pertama di situ.
Secara perbandingan, calon ketua menteri BN Sulaiman Md Ali pula bertanding di Lendu yang jauh lebih berisiko. Pada PRU lalu, dia hanya menang dengan majoriti 627 undi.
Terdahulu timbul cakap-cakap yang Ab Rauf berhasrat ingin menjadi ketua menteri tetapi peluangnya kian malap apabila kepimpinan pusat Umno menyokong Sulaiman untuk kekal di jawatan itu, jika BN menang.
Rauf telah berkata dia akan patuh dengan keputusan parti. Bagaimanapun pintu belum tertutup buatnya memandangkan Sulaiman perlu terlebih dahulu menang di Lendu.
Rauf nampaknya berada di kedudukan yang lebih selesa berbanding Sulaiman tetapi keadaan berubah apabila PN memutuskan untuk mencalonkan Mas Ermieyati Samsudin - antara calon 'heavyweight' Bersatu - di Tanjung Bidara.
Walaupun daripada Bersatu, Mas Ermieyati mempunyai hubungan yang mendalam dengan akar umbi Umno di situ.
Dia adalah ahli parlimen Masjid Tanah, kerusi yang dimenanginya pada 2013 dan 2018 ketika masih bersama Umno.
Orang luar
Pada masa sama, penduduk tempatan melihat Rauf sebagai orang luar. Sebelum ini, wakil rakyat di situ adalah Md Rawi tetapi dia digugurkan Umno dalam PRN kali ini.
"Walaupun Rauf dari Masjid Tanah, dia bersama Umno Bukit Bintang (di Kuala Lumpur) sebelum kembali ke Melaka lepas dilantik sebagai pengerusi negeri," kata seorang penduduk tempatan kepada Malaysiakini.
Penyokong Umno di Tanjung Bidara secara umumnya tidak mengeluarkan kata-kata yang tidak baik berkaitan parti mereka, walaupun tetap ada yang membayangkan rasa kurang senang.
Seorang peniaga gerai yang enggan dinamakan menyifatkan dirinya sebagai "penyokong kuat BN", tetapi apabila ditanya tentang Rauf dia mengakui wujud "sentimen" terhadapnya.
Dia walaupun tidak mengulas lanjut berkenaan perkara itu.
Ramai orang tempatan yang ditemui Malaysiakini masih memandang tinggi Mas Ermieyati walaupun dia telah menyertai Bersatu. Mereka berkata sering melihat timbalan menteri itu di kawasan tersebut. Mas Ermieyati menjadi ahli parlimen Masjid Tanah sejak 2013.
"Saya yakin Datuk Mas baik, dia ada kepimpinan," kata Shazali Abd Rahman, pesara tentera berusia 40 tahun.
Malah pemimpin PH di situ, Abdul Yasin Ibrahim mengakui yang Mas Ermieyati diterima baik oleh penduduk tempatan.
"Secara peribadi, saya lihat dia komited dengan tugasnya (sebagai wakil rakyat) dan banyak yang telah dia lakukan kepada rakyat," kata Abdul Yasin.
Bagaimanapun, ramai penyokong BN yang setia dan akan terus mengundi berdasarkan parti. Dengan kemenangan besar BN di Tanjung Bidara pada PRU lalu, Rauf tidak akan berdepan masalah jika kehilangan sejumlah kecil undi.
Namun peratusan itu akan kian berkurangan jika Mas Ermieyati mendapat lonjakan daripada kepimpinan pusat PN hari ini. Gabungan itu dijangka mengumumkan calon ketua menterinya dan sedang menimbang untuk menamakannya.
Semalam, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin turut membayangkan kemungkinan calon ketua menteri wanita. Ia akan membezakan mereka dengan calon daripada BN dan PH, iaitu Sulaiman dan Adly Zahari.
Persoalan sama ada PN dapat meyakinkan pihak-pihak konservatif dalam gabungan itu, terutama PAS, untuk menerima calon wanita atau atau tidak akan diketahui hari ini.
Imam tempatan
Di tengah-tengah calon 'heavyweight' daripada BN dan PN adalah Zanial Hassan yang mewakili PH.
Walaupun boleh dikatakan namanya memang tidak pernah didengar di luar Masjid Tanah, dia adalah seorang yang dikenali di kalangan masyarakat tempatan sebagai imam masjid.
Beberapa penduduk tempatan yang ditemui Malaysiakini membayangkan walaupun Zainal bukan individu yang sinonim dalam dunia politik, perawakannya selaku pemimpin agama dan latar belakang yang sederhana memiliki daya tarikan di mata penduduk.
Lelaki berusia 59 tahun itu juga seorang pesara tentera dan pernah berkhidmat dengan PBB di Kemboja.
"Saya lihat Mas Ermieyati dan Rauf sebagai 'kayangan' berbanding Zainal," kata seorang pekerja chalet di sana yang hanya ingin dikenali sebagai Hashim.
Bagaimanapun, masih tidak jelas pihak mana yang akan mendapat kelebihan jika sokongan terhadap BN terhakis.
Untuk menang, Mas Ermieyati perlu menarik sokongan tidak sedikit penyokong BN terhadapnya. Jika tidak, ia hanya akan memecahkan undi dan memberi manfaat kepada Zainal.
Rauf masuk bertanding kali ini dengan membawa kelebihan dan pada masa sama, Mas Ermieyati bakal memberi cabaran utama kepada BN di Tanjung Bidara.
Esok adalah hari terakhir kempen. Pengundi akan membuat pilihan mereka Sabtu ini.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.