https://critoxium.com/shop/

Terkini

Macam mana nak hapus katak?


Oleh Mohsin Abdullah

 Tanya sesiapa sahaja apa pandangan mereka terhadap “katak” politik pasti jawapannya – benci, meluat, menyampah, jijik, geli ,loya dan banyak lagi yang menyimpulkan rasa tidak suka dan tidak senang.

Tanya saya itu juga jawapannya walaupun tidak dinafikan ada juga orang politik yang tukar parti atas dasar “prinsip”. Atau parti sudah menyeleweng dan lari daripada matlamat perjuangan asal.

Tetapi ramai yang tukar parti untuk mendapat habuan dan ganjaran. Jawatan tinggi umpamanya, terutama apabila tinggalkan parti lompat ke parti yang berkuasa. Politikus yang lompat parti untuk dapat untung. Lalu mereka digelar katak. Kerana katak memang melompat. Lompat si katak lompat.

Sebenarnya bagi saya, panggilan “katak” untuk golongan politikus seperti yang disebut tadi satu penghinaan bagi haiwan amfibia itu. Malah manusia harus berterima kasih kepada katak khususnya kerana memakan serangga termasuk lalat yang kerap menganggu hidup kita. Itu antara jasa katak kepada manusia.

Namun lain ceritanya dengan manusia bergelar katak. Tidak ada jasanya kepada kita. Lantas oleh kerana kemarahan ke atas politikus yang berpaling tadah dan lompat parti sekali gus mengkhianati mandat rakyat, istilah “katak” dianugerah untuk mereka. Saya setuju dan dalam konteks artikel ini bila disebut katak, ia bermakna katak politik.

Kata wartawan veteran Kadir Jasin sejak selepas PRU14 tiga tahun lalu, perbuatan melompat parti menjadi begitu berleluasa sehingga susah hendak dibezakan antara satu dengan lain.

“Macam katak lompat masuk kubang kerbau apabila dikejutkan. Ada macam-macam jenis katak dan cara melompat,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook.

Menurut Kadir, ada lompat dari satu parti ke parti lain kerana dijanjikan ganjaran atau melihat katak katak yang terdahulu mendapat habuan lumayan setelah melompat – “tapi bawa parti keluar daripada pakatan setelah menang pilihanraya seperti yang dibuat oleh Mahiaddin Md Yasin terhadap Pakatan Harapan bukan sahaja lompat tapi konspirasi politik yang keji”.

Jelas Kadir bercakap mengenai Langkah Sheraton.

Sekarang dua bekas ADUN Umno Melaka yang jatuhkan kerajaan negeri jadi calon Pakatan Harapan. Justeru PRN kali ini juga mengenai katak politik. Dan kali ini imej PH, khususnya PKR dan Amanah, tercalar kerana bersetuju menerima mereka.

Esok rakyat Melaka dijadual keluar mengundi. Pelbagai pihak menasihati atau mencadangkan pengundi jangan pilih parti atau calon katak.

Isu katak ini turut mengundang kata-kata keras daripada bekas menteri undang undang Zaid Ibrahim.

Zaid menyeru pengundi Melaka “tunjukkan kepada kumpulan pemimpin pembelot dan gila kuasa bahawa rakyat tidak merestui tindakan mereka”.

Zaid sedar banyak pihak yang mahu diwujudkan undang undang lompat parti di negara ini supaya pembelotan dapat dihapuskan tetapi pada hemat beliau “ubat yang paling berkesan untuk menghapuskan pengkhianat politik ialah bila rakyat tolak mereka dalam pilihanraya”.

Dalam konteks PRN Melaka, persoalan utama membabitkan jumlah pengundi yang akan keluar untuk pangkah kertas undi. Terutama pengundi komuniti Cina. Menurut Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar, “mood” pengundi Cina di Melaka pada PRN kali ini “sangat sejuk dan dingin sekali”.

Kebiasaannya kata beliau, berdasarkan pengalaman Ilham Centre, pengundi Cina agak kritikal dalam memberi kenyataan kepada penyelidik tetapi berbeza untuk PRN ini.

Kali ini mereka memilih untuk mengelak apa sahaja soalan dan membayangkan enggan mengambil bahagian dalam PRN yang kata mereka “tidak perlu”.

Menurut Hisommudin “mereka juga tidak menggalakkan ahli keluarga yang berada di luar Melaka untuk pulang mengundi.”

Alasan utama yang diberi majoriti mereka adalah khuatir PRN ini akan atau boleh menyaksikan peningkatan kes Covid 19 seperti mana PRN Sabah tahun lalu.

Bagaimanapun, dapatan itu berdasarkan kajian yang dijalankan awal bulan ini, khususnya membabitkan pengundi Cina. Saya tidak dapat pastikan sama ada “mood sejuk ” itu sudah memanas sekarang dan apa pula “mood” pengundi Melayu dan komuniti lain.

Apa pun pengundi di Melaka, tanpa kira bangsa, ada pilihan. 1) Tidak keluar mengundi tetapi mesti pasrah melepaskan peluang untuk menentukan siapa yang layak memerintah mereka. Sekurangnya kurangnya menyatakan pilihan ATAU 2) Meluah apa yang terpendam menerusi kotak undi. Mungkin hasrat tercapai mungkin tidak. Tetapi percubaan sudah dilaksanakan.

Orang Melaka, bola di kaki anda. Lebih tepat – tepuk dada tanya selera.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.