https://critoxium.com/shop/

Terkini

Senarai calon GPS diumum 4 Disember


MIRI: Senarai penuh calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Sarawak akan diumum pada 4 Disember depan.

Ketua Menteri yang juga Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata tarikh itu dilihat sesuai iaitu dua hari sebelum penamaan calon yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau berkata, GPS sememangnya sudah bersedia dan menjangkakan PRN-12 diadakan sebelum sambutan Krismas.

"Sehubungan itu, senarai calon GPS akan diumumkan dua hari sebelum hari penamaan calon," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Sekolah Sri Mawar, di sini hari ini.

Mesyuarat khas SPR di Kuching hari ini, menetapkan penamaan calon bagi PRN-12 pada 6 Disember, pengundian awal pada 14 Disember manakala hari pengundian pada 18 Disember.

Komponen GPS merangkumi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) menguasai 68 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Ketika ini, PBB memiliki jumlah kerusi terbesar iaitu 47, PRS (11), SUPP (tujuh) dan PDP (tiga).

DAP memiliki lima kerusi, Parti Sarawak Bersatu (PSB) enam kerusi, BERSATU (satu) dan Bebas (satu).

Satu lagi kerusi iaitu Pujut kini kosong selepas penyandangnya Dr Ting Tiong Choon dilucutkan kelayakan sebagai wakil rakyat pada Februari tahun lalu selepas didapati memiliki dua kerakyatan.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, mengumumkan bahawa gabungan itu akan bertanding di semua 82 kawasan DUN.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.