Perang mulut Kedah, Pulau Pinang isu tuntutan bayaran belum berakhir
GEORGETOWN: Ketua Menteri, Chow Kon Yeow sekali lagi menegaskan Pulau Pinang tidak akan membayar caj sumber air mentah setahun seperti dibangkitkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menerusi laman sosial Facebook beliau semalam.
Kon Yeow berkata, pendirian Pulau Pinang itu juga telah berulang kali dinyatakan secara rasmi sebelum ini.
“Saya tertarik dengan kenyataan Menteri Besar Kedah yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook beliau. Saya dengan ini menegaskan bahawa pendirian Pulau Pinang sudah banyak kali dinyatakan secara rasmi.
“Kita tidak akan bayar kerana isu bayaran adalah tidak berbangkit, ini kerana kita ambil air dari sempadan negeri kita, nampaknya Kedah masih tidak mahu faham,” katanya menerusi laman sosial Facebook di sini hari ini.
Sebelum ini, Muhammad Sanusi menuntut Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) menjelaskan bayaran sumber air mentah sebanyak RM50 juta setahun.
Bagaimanapun, kerajaan Pulau Pinang tetap bertegas tidak akan membayar caj air mentah sebanyak RM50 juta setahun seperti dituntut Kedah.
Semalam, Muhammad Sanus menerusi Facebook sekali lagi membangkitkan perkara itu selepas memuat naik gambar beliau bersama Kon Yeow dalam satu pertemuan di Istana Negara.
Menurut Muhammad Sanusi, tuntutan bayaran air mentah itu adalah untuk negeri dan rakyat Kedah, malah tuntutan itu wajar dan munasabah kerana pengorbanan Kedah menyimpan kawasan tadahan ratusan ribu hektar.
Menguatkan lagi tuntutannya, Muhammad Sanusi berkata, semua tahu Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menjana pendapatan dan keuntungan yang banyak daripada industri bekalan air kepada sektor industri, perkapalan dan domestik, daripada air mentah yang berpunca dari Kedah.
Bagaimanapun Kon Yeow ketika pertemuan itu menjawab Pulau Pinang tidak mampu membayarnya kerana hasil negeri itu tidak banyak.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.