https://critoxium.com/shop/

Terkini

Tangguh PRU15, tumpu keperluan rakyat

 


PETALING JAYA: Adalah lebih baik kerajaan terus menumpukan usaha bagi meningkatkan ekonomi negara dan sektor penting yang lain daripada bertindak tergesa-gesa mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, tumpuan juga sepatutnya diberikan terhadap keperluan rakyat yang sebelum ini dihimpit pelbagai bebanan ekoran penularan Covid-19.

Katanya, sekiranya PRU15 diadakan dalam masa terdekat, ia secara tidak langsung memberi gambaran negatif terhadap kerajaan yang dilihat mengutamakan politik berbanding perkara lain yang lebih penting.

“Penularan Covid-19 masih lagi berlaku. Sekiranya PRU15 dibuat dalam keadaan sekarang walaupun adanya prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, adakah terdapat jaminan tiada peningkatan kes Covid-19 selepas itu?

“Tambahan pula, sektor ekonomi baharu sahaja bernafas kembali. Rakyat pun masih tercari-cari rentak untuk bangkit kembali selepas dua tahun terkesan akibat wabak ini. Justeru, kerajaan perlu meletakkan kepentingan rakyat sebagai kunci utama dan mengambil kira pelbagai perkara lain sebelum mahu mengadakan PRU15,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, kos yang lebih tinggi sudah semestinya diperlukan sekiranya PRU15 diadakan dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, kos tersebut sebaliknya boleh digunakan untuk perkara yang lebih penting terutama sektor pendidikan, sosial dan ekonomi bagi pasca Covid-19.

“Terlalu banyak risiko sekiranya PRU15 diadakan. Perlu diingat, ia tidak sama sebagaimana Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang hanya melibatkan satu negeri. Kos akan bertambah kerana melibatkan SOP ketat.

“Jika kes meningkat kembali sejurus selepas PRU15 diadakan, tidakkah wang yang lebih banyak akan diperlukan? Perlu diingat kita wajar belajar daripada PRN Sabah di mana kes meningkat dan banyak sektor terpaksa ditutup lebih lama berbanding tempoh berlangsungnya proses pilihan raya,” jelasnya.

Sehubungan itu, Mohd. Azizuddin amat berharap kerajaan menunggu sehingga tempoh matang iaitu tahun 2023 serta memastikan kes penularan Covid-19 benar-benar terkawal terlebih dahulu sebelum mengadakan PRU15.

Perkara sama turut ditegaskan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim yang memberitahu, PRU15 tidak harus diadakan awal bagi memberi peluang kepada pengundi 18 tahun.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, pengundi 18 yang meliputi jumlah lebih besar sudah pasti akan memberi impak kepada politik negara, sekali gus mereka perlu diraikan sebagai pengundi pertama pada PRU kali ini.

“Kita perlu memberi peluang kepada mereka yang berusia 18 tahun untuk mengundi. Ini bermakna kalau buat pada tahun depan, peluang boleh diberi kepada kepada warga baru dalam dunia pengundian.

“Peluang mengundi (18 tahun) akan dibuka tahun hadapan. Jadi ia tidak wajar untuk diadakan segera,” katanya. – UTUSAN

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.