Tiada Adun yang melompat berjaya kembali ke DUN
Tiada seorang pun Adun yang berpaling tadah sehingga membawa kepada jatuhnya kerajaan BN-PN awal Okt lalu gagal kembali ke DUN Melaka.
Norhizam Hassan Baktee yang bertanding sebagai calon bebas kali ini gagal mempertahankan kerusinya di sebalik kemenangannya pada 2018 dengan kelebihan 2,756 undi.
Setakat berita ini ditulis, bekas Adun DAP yang meninggalkan Pakatan Harapan untuk menyokong Perikatan Nasional (PN) dan BN pada tahun lalu hanya meraih 1,218 undi.
Calon BN, Kalsom Nordin (Umno) kini mendahului undi berbanding empat pencabar lain.
Sementara itu bekas ketua menteri Idris Haron - yang bertanding sebagai calon PKR pula kalah besar di Asahan apabila hanya meraih 1,344 undi.
Pesaingnya Fairul Nizam Roslan (Umno-BN) yang merupakan muka baru, menang dengan 4,816 undi.
Seorang lagi adalah bekas exco Noor Azman Hassan yang bertanding sekali lagi bagi mempertahankan kerusi Pantai Kundor turut kalah. Dia yang bertanding sebagai wakil Amanah-PH kecundang kepada calon BN, Tuminah Kadi @ Mohd Hashim.
Seorang lagi wakil rakyat yang menarik sokongan daripada BN-PN baru-baru ini ialah Noor Effandi Ahmad. Dia tidak bertanding dalam PRN ini.
Tidak ketinggalan ialah seorang calon berprofil tinggi dari PN, iaitu Mas Ermieyati Samsudin yang memenangi kerusi parlimen Masjid Tanah pada 2018 atas tiket BN.
Dipertaruhkan sebagai calon ketua menteri oleh PN, Mas Ermieyati meninggalkan Umno untuk menyertai Bersatu kira-kira tujuh bulan selepas BN kalah dalam PRU lalu.
Semalam Mas Ermieyati terpaksa akur kepada kekuatan pengaruh calon BN, Ab Rauf Yusoh, yang memenangi kerusi Tanjung Bidara.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.