Penduduk DUN Opar kecewa isu harga barang, janji bina jambatan tak dipenuhi
Sekarang adalah musim pilihan raya di Sarawak tetapi politik barangkali perkara terakhir di fikiran pengundi di Opar, kawasan DUN di sebelah barat Kuching.
Bercakap dengan Malaysiakini, penduduk tempatan di kawasan separa luar bandar ini lebih bimbang tentang kenaikan harga barang dan bahan pertanian.
Ini menyebabkan ramai di kawasan pinggir bandar, yang mejoritinya masyarakat Bidayuh, menyalahkan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana gagal membendung inflasi.
Neyia Misin mengusahakan ladang dan menjual sayur-sayuran di Kampung Stenggang, kira-kira 75 minit pemanduan ke barat daya Kuching.
Wanita berusia 61 tahun itu berkata, pada masa lalu dia dapat menghabiskan barangan dengan cepat tetapi gerainya di tepi jalan kini penuh dengan hasil yang tidak terjual walaupun sudah menjengah tengah ahri, seperti yang dilihat Malaysiakini ketika menemuinya.
Dia berkata perniagaan pada masa ini tidak baik tetapi kos telah meningkat sejak tiga bulan lalu.
Neyia berkata harga racun rumput telah meningkat dua kali ganda baru-baru ini, hampir RM500 bagi setiap 20 liter. Harga baja pula meningkat satu setengah kali ganda, daripada RM120 kepada RM180 bagi setiap 50kg.
Bagaimanapun Neyia tidak dapat menaikkan harga jualannya kerana dia tidak mahu kehilangan pelanggan yang kebanyakannya orang kampung.
“Memang marah kerana kita sudah tidak mampu beli barang (diperlukan). Jual sayur sikit, beli baja mahal.
"Kita pun mahu makan juga, bil api dan air lagi. Kalau jual sayur macam ini baru dapat RM30, beli baja kena keluar ratus," katanya.
"Mahu tukarlah kerajaan ini. Kenapa mahu kekal yang sama? Cuba yang lain, lagi lima tahun boleh tukar lagi. Berganti-ganti ini bagus," katanya.
'Kerajaan gagal'
Bukan setakat petani dan penjual sayur-sayuran sahaja yang tertekan dengan isu kenaikan harga.
Mida Nowil dan keluarganya mengusahakan kedai kopi dekat Sungai Batang Kayan.
Dia hairan bagaimana harga bawang merah, misalnya, telah meningkat sebanyak 300 peratus dalam tempoh tiga bulan - daripada RM8 kepada RM25 sekilogram.
Maka Mida terpaksa mengekalkan harga, tetapi dengan makanan yang dikurangkan.
"Kita marah pun ada. Saya salahkan kerajaan yang ada. Sebab kita tahu ini semua di tangan kerajaan (untuk kawal harga). Kerajaan sepatutnya tolong kurangkan atau kawal harga barang.
"Saya ingat kerajaan sekarang gagal, maka kita harus tukar. Takkan mereka tak betul pun kita masih sokong," kata peniaga berusia 69 tahun itu.
Setiausaha Agung GPS Alexander Nanta Linggi menerajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di peringkat persekutuan.
Kementerian
itu membelanjakan RM100 juta untuk mengadakan bazar "Keluarga Malaysia"
di seluruh negara bagi menjual makanan asas pada harga yang lebih
rendah, serta memperuntukkan RM150 juta untuk subsidi harga minyak
masak.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.