https://critoxium.com/shop/

Terkini

Adakah 4 duta khas serah kad laporan 100 hari

 


PETALING JAYA: Veteran DAP, Lim Kit Siang mempersoalkan sama ada empat duta khas yang dilantik kerajaan sudah menyerahkan kad laporan 100 hari mereka.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, duta khas dibayar oleh dana awam dan rakyat mempunyai hak untuk tahu prestasi mereka.

“Bolehkah empat duta khas – Abdul Hadi Awang, Tiong King Sing, Richard Riot dan SA Vigneswaran – mengeluarkan kad laporan 100 hari mereka? Jika tidak, apakah fungsi mereka ini?” soalnya dalam kenyataan.

Hadi ialah Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Tiong (Duta Khas ke China), Riot (Duta Khas ke Asia Timur) dan Vigneswaran (Duta Khas ke India dan Asia Selatan).

Lim berkata, beliau sebelum ini bertanya sama ada Hadi dilarang menjejakkan kaki ke Arab Saudi dan tidak pernah melawat negara itu sejak pelantikannya pada April 2020, tetapi tiada jawapan diberikan.

“Apa guna duta atau duta khas sesuatu wilayah apabila dia tidak dapat melawat negara atau wilayah di bawah tanggungjawabnya?

“Berapa kali Tiong melawat China sejak pelantikannya dan apakah yang telah dilakukannya untuk mewajarkan pelantikannya? Soalan yang sama ditujukan kepada Hadi, Riot dan Vigneswaran.”

Lim berkata, berdasarkan jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Abdul Latiff Ahmad di Parlimen, Perdana Menteri mempunyai empat duta khas dan seorang penasihat yang keseluruhannya dibayar RM136,136 sebulan.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.