https://critoxium.com/shop/

Terkini

Semua setuju, akur keputusan gugur Khairuddin - Awang


Salah seorang anggota Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat mendedahkan, keputusan parti itu menggugurkan Khairuddin Aman Razali daripada badan tersebut dibuat secara sebulat suara.

Bahkan menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim tidakan menyingkirkan bekas menteri itu adalah suatu amalan yang biasa dalam sesebuah organisasi.

Jelas Awang, badan tersebut memang selalu konsensus dalam apa juga hal dan yakin tidak akan berlaku perpecahan dalaman PAS akibat tindakan mengetepikan Khairuddin.

"Ini (pemecatan) perkara biasa. Saya juga berada dalam mesyuarat terbabit pada ketika itu.

"Semua setuju dan akur (keputusan pemecatan)," katanya seperti dilaporkan Sinar Online, hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengesahkan jawatan Mohd Khairuddin sebagai AJK lantikan PAS digugurkan atas sebab disiplin.

Pemecatan itu dibuat tidak sampai dua bulan selepas ahli parlimen Kuala Nerus dan bekas watak penting dalam Dewan Ulama PAS Pusat itu dilantik ke jawatan berkenaan.

Tak selari kehendak parti

Untuk rekod, Khairuddin kalah kerana gagal mendapat undi mencukupi bagi menempatkan dirinya dalam barisan AJK PAS Pusat dalam pemilihan baru-baru ini.

Menurut Abdul Hadi, keputusan pengguguran Mohd Khairuddin itu dibuat parti pada mesyuarat yang diadakan di ibu pejabat parti itu, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Khairuddin sebelum ini dikatakan tidak bersetuju dengan pendirian Abdul Hadi dan didakwa mengkritik presidennya itu dalam satu rakaman audio yang tular di media sosial.

Dia juga digugurkan daripada jawatan menteri selepas berlaku pertukaran perdana menteri dan kabinet.

Kata Awang sebelum ini dia sendiri pernah diketepikan daripada jawatannya sebagai Setiausaha PAS Kedah namun peristiwa itu menjadi cabaran kepadanya untuk terus memperbaiki diri dan meneruskan langkah politiknya.

Ditanya mengenai punca Khairuddin dipecat, Awang berkata, ia adalah sama seperti apa yang dijelaskan Abdul Hadi sebelum ini.

"Kadang-kadang ada perkara yang kita fikir betul tetapi tidak selari dengan keputusan organisasi atau jemaah," katanya.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.