Wei Chong, Kai Wun terus dahaga gelaran
Kuala Lumpur: Muncul juara dua kali dalam tempoh tujuh bulan pada tahun ini melonjakkan semangat beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun untuk memburu lebih banyak kejuaraan di kejohanan lebih besar, selepas ini.
Malah kejayaan terbaru muncul juara Terbuka Taiwan, semalam dengan mengejutkan pemenang pingat emas Olimpik Tokyo 2020, Lee Yang-Wang Chi-Lin menebus kekecewaan mereka gagal menyumbang pingat di Sukan Sea Hanoi, Vietnam, Mei lalu.
Ketika itu, gandingan negara yang menduduki ranking ke-36 dunia terpaksa menamatkan kempen mereka seawal pusingan pertama berikutan kecederaan lutut kiri dialami Wei Chong.
"Memang sangat gembira dengan kemenangan ini sebab saya baru sahaja melalui tempoh kecederaan. Sasaran kami adalah berada dalam kelompok 20 terbaik dunia selepas berakhir tahun ini.
"Pada final semalam, kami tidak berasa tekanan kerana tekanan itu lebih dirasai lawan. Jadi kami hanya beraksi seperti biasa sahaja," kata Wei Chong.
Gandingan negara itu mengecewakan pasangan tuan rumah apabila melakar kemenangan 21-18, 11-21, 21-18 dalam perlawanan yang memakan masa 54 minit, semalam.
Ia adalah kejayaan kedua buat beregu negara itu selepas berjaya merangkul kejuaraan sulung tahun ini di Cabaran Antarabangsa Syed Modi, India, Januari lalu.
Gandingan negara itu mempamerkan aksi konsisten seawal pusingan pertama di kejohanan bertaraf Super 300 itu apabila memenangi semua perlawanan dengan straight set.
"Kami sememangnya beraksi dengan baik dan cukup teruja bertemu pemenang pingat emas Olimpik Tokyo 2020. Banyak yang kami pelajari daripada mereka.
"Harap selepas ini kami dapat keputusan yang bagus apabila beraksi dalam saingan Super 500 atau 750," kata Kai Wun.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.