Ahmad Idham keluar Bersatu sebab rasa perjuangan tak sesua
Ahmad Idham Ahmad Nadzri menjelaskan tindakannya meninggalkan Bersatu adalah kerana perbezaan perjuangan dari sudut visi dan ideologi dengan pemimpin-pemimpin tertinggi parti tersebut.
Justeru, penerbit dan pengarah terkenal itu berkata, hatinya lebih tertarik untuk menyertai Gerakan Tanah Air (GTA) yang didakwanya tidak berpaksikan kepada parti politik semata-mata.
Bahkan, kata Ahmad Idham, dia selesa dengan gerakan itu kerana ia menggabungkan individu, organisasi bukan kerajaan (NGO), golongan profesional dan ahli akademik di bawah satu bumbung.
“Saya tak boleh katakan (punca keluar Bersatu) adalah masalah dalaman. Apa saya boleh jelaskan adalah perjuangan gerak kerja Bersatu tidak serasi dengan misi dan visi yang ingin dilakukan.
“Saya lebih selesa menggerakkan perjuangan untuk mewujudkan hab pendidikan khas melalui (NGO), Pertubuhan Briged Prihatin serta ahli profesional dan intelektual.
“Sebelum saya terjebak dengan permainan dalaman parti, baik saya go independant (bergerak bebas),” jelasnya kepada Malaysiakini.
Ahmad Idham, 48, berkata demikian bagi mengulas laporan media yang kelmarin mendakwa dia keluar Bersatu selepas wujud masalah dalaman dan janji-janji tidak dipenuhi selama bersama parti itu.
Pada 1 Julai lalu, pengarah Impak Maksima itu menghantar surat memaklumkan dia keluar Bersatu kepada Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin di ibu pejabat parti berkenaan di Menara Yayasan Selangor.
Menurut Ahmad Idham dia bersama dengan GTA selepas mendengar penjelasan daripada pengerusi penaja gerakan itu, Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana pada 17 Ogos lalu.
Ahmad Idham yang juga pelakon Mr Cinderella itu pada masa sama menafikan tujuannya menyertai GTA adalah untuk menjadi calon mewakili gabungan terbabit dalam PRU akan datang.
Katanya, dia tidak pernah menguar-uarkan sebarang kenyataan mengenai isu menjadi calon sebaliknya mahu menumpukan perhatian untuk membuat program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat.
“Itulah masalah apabila ada seseorang selebriti masuk mana-mana parti atau gerakan, pasti ada timbul isu nak menjadi calon.
“Saya tak pernah cakap nak jadi calon. Yang saya selalu tegakkan adalah CSR untuk masyarakat di luar sana, nak menyumbang semula kepada komuniti.
“Saya bukan ahli politik sampai perlu jadi calon, tapi saya sertai GTA kerana mahu bawa gagasan Hab Pendidikan Khas sampai ke peringkat antarabangsa.
"Kalau bergerak sendirian, ia akan menjadi lebih sukar buat saya,” katanya.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.