RUU Antilompat Parti: Perak akan bentang dalam sidang DUN
IPOH: Kerajaan Perak akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas RUU itu diluluskan Dewan Rakyat pada Khamis lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pindaan Undang-undang Tubuh Negeri perlu dibuat terlebih dahulu bagi membolehkan RUU berkenaan dikuat kuasa di Perak.
Beliau berkata, ia akan dibentangkan pada sesi sidang DUN akan datang agar ia selari dengan Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, tarikh sidang DUN itu akan ditentukan kemudian.
Beliau menjelaskan, apa juga RUU di peringkat Pusat, ia perlu dibawa ke negeri terlebih dahulu agar boleh dilaksanakan di peringkat negeri.
“Dulu kalau kita ingat RUU berkaitan dengan umur pengundi dan calon (18 tahun), setelah diluluskan oleh Parlimen, kita bawa ke negeri dahulu, baru boleh ia diguna pakai.
“Sama juga dengan ini (RUU Antilompat Parti), setelah kerajaan Pusat lulus di dua dewan, Dewan Rakyat dan Dewan Negara, maka kita bawa ke sidang DUN pula untuk dibahas dan diluluskan, baru ia boleh dipraktikkan di Perak,” katanya.
Beliau ditemui selepas program MESRA dengan masyarat Cina dan India di Chemor, dekat sini, hari ini.
Pada Khamis, Dewan Rakyat meluluskan dengan sokongan dua pertiga Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti.
Terdahulu pada Sabtu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berharap lima kerajaan negeri dikuasai UMNO iaitu Melaka, Johor, Perlis, Pahang dan Perak dapat meminda perlembagaan negeri masing-masing.
Ia bagi membolehkan mereka melaksanakan peraturan berkaitan larangan wakil rakyat bertukar parti.
Selain itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata empat negeri iaitu Sabah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan telah menyatakan hasrat untuk meminda secepat mungkin undang-undang tubuh negeri masing-masing.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.