https://critoxium.com/shop/

Terkini

Jangan cuba lari dari tanggungjawab, Ahmad Zahid luluskan projek LCS - Liew Chin Tong


KUALA LUMPUR:
Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong memberi amaran kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya mengambil tanggungjawab atas kegagalan perolehan kapal tempur pesisir (LCS) selepas meluluskan projek berkenaan sebagai Menteri Pertahanan pada 2011.
 
Menerusi hantaran di Facebook, Timbalan Setiausaha Agung DAP itu mengingatkan Ahmad Zahid supaya tidak cuba “lari daripada tanggungjawab”, malah perlu menjawab kepada rakyat berhubung projek tersebut.
 
“Projek LCS telah diluluskan oleh Zahid Hamidi selaku Menteri Pertahanan pada tahun 2011.
“Zahid juga yang membuat keputusan untuk menukarkan sistem LCS daripada sistem SIGMA kepada sistem GOWIND sebelum berunding dan meminta nasihat pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” katanya.
 
Chin Tong pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Pertahanan, ketika Pakatan Harapan mentadbir negara selama 22 bulan.
 
Dalam hantaran yang sama, turut disertakan sebahagian daripada laporan prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang memetik seorang saksi iaitu Guna Arulalan David, Timbalan Ketua Sekretariat Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan.
 
Menurut laporan PAC yang memetik kenyataan bertarikh 1 Disember 2020, Guna Arulalan berkata, TLDM bersetuju dengan reka bentuk SIGMA, sebelum ditukar kepada GOWIND atas cadangan Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS).
 
Ketika menjawab Pengerusi PAC, Wong Kah Woh mengenai cadangan berkenaan, Guna Arulalan berkata bahawa Ahmad Zahid bersetuju dengan reka bentuk GOWIND selaku Menteri Pertahanan.
Pengerusi PAC: “Boleh tak kami dapatkan bilakah SIGMA dicadangkan dan dipersetujui dan siapakah Menteri? Keadaan yang sama untuk GOWIND.”
 
Guna Arulalan David: “Ya. Pada 26 Mei 2011, kita dapati Yang Berhormat Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersetuju dengan cadangan TLDM untuk reka bentuk SIGMA dan Combat Management Systems yang berkaitan adalah daripada Palaise, Perancis.”
 
Guna Arulalan David: “Akan tetapi pada tahun yang sama, iaitu pada 11 Julai 2011, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersetuju pula untuk memilih reka bentuk GOWIND. Pada 26 September 2011, bersetuju untuk perubahan kepada Combat Management System daripada yang asalnya tactical ditukar kepada SETIS. Jenis SETIS dari Perancis juga atas syor syarikat BNS.”
 
Terdahulu, Ahmad Zahid berkata adalah tidak wajar untuk menyandarkan kegagalan perolehan LCS kepadanya kerana mendakwa beliau bukan Menteri Pertahanan ketika projek itu dianugerahkan.
 
Menurut Ahmad Zahid, LCS dibina oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) yang merupakan anak syarikat Boustead Holdings Bhd dan pemegang saham terbesar adalah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.