https://critoxium.com/shop/

Terkini

Najib, jangan perasan ... ! - Rafizi


KUALA LUMPUR :
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli membidas kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak semasa berucap di Konvensyen BN Selangor, kononnya beliau 'berminat' dengan bekas Perdana Menteri itu.
 
Sebaliknya jelas Rafizi, minat sebenarnya adalah untuk memastikan Najib menanggung kesalahan-kesalahannya kepada rakyat dan berakhir dengan menjalani hukuman di penjara.
 
"Saya tidak berminat dengan Najib. Sebagai pimpinan utama parti-parti pro-rakyat di negara ini, memang menjadi tanggungjawab saya untuk terus mendedahkan kesalahan Najib. Fokus kepada kesalahan Najib yang membebankan rakyat ini telah menjatuhkan Najib dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dalam tahun 2018. 
 
 
"Dengan konsistensi yang sama, lebih ramai rakyat yang akan menolak UMNO/Barisan Nasional akibat penyelewengan-penyelewengan Najib yang terus membebankan UMNO/Barisan Nasional," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
 
Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) dalam ucapannya pada Konvensyen BN Selangor sebelum ini berkata, beliau tidak berminat untuk melayani sebarang tindakan Rafizi walaupun bekas Ahli Parlimen Pandan itu dikatakan 'berminat' dengannya sejak kebelakangan ini. 
 
Dalam pada itu, Rafizi berkata, lagak Najib sudah diketahui umum dan ada segelintir masyarakat yang berpendapat ia wajar diabaikan,"Namun, saya memilih untuk berdepan dengan sarkas politik mainan Najib kerana ada isu pokok yang cuba disembunyikan Najib," tambahnya. 
 
Dakwanya, Najib telah menggunakan sumber kewangannya untuk menggerakkan kempen penipuan melalui media sosial untuk menyucikan dirinya seolah-olah dia tidak bersalah.
 
"Lebih teruk dari itu, dia juga cuba menyelewengkan pemikiran rakyat dengan memainkan propaganda terhadap tokoh-tokoh terbilang yang patriotisme mereka bagai langit dengan bumi jika dibandingkan dengan Najib. Cubaan propaganda Najib untuk memburukkan integriti hakim, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, semata-mata untuk menutup kesalahannya mencuri dana rakyat, tidak wajar dibiarkan tanpa disanggah," tegasnya.
 
Justeru, beliau menyeru keseluruhan pimpinan Keadilan dan Pakatan Harapan di segenap lapisan terus menjawab untuk mematikan propaganda Najib yang merosakkan pemikiran rakyat.
 
"Sementara kita membentangkan idea-idea untuk memperbaiki kebajikan rakyat dan menyelesaikan masalah rakyat, kita juga wajib menunjukkan bahawa sebahagian besar dari masalah rakyat ini berpunca dari salah tadbir sepanjang sembilan tahun Najib menjadi Perdana Menteri.
 
"Keupayaan pimpinan Keadilan dan Pakatan Harapan mengutarakan kedua-dua perkara ini (memberi idea penyelesaian dan mematahkan propaganda Najib) secara serentak adalah kunci kemenangan Keadilan dan Pakatan dalam pilihanraya umum akan datang," ujarnya.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.