https://critoxium.com/shop/

Terkini

PH pertimbang bubar tiga DUN awal


KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) mempertimbang membubarkan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah pentadbirannya lebih awal bagi membolehkan pilihan raya dijalankan serentak dengan negeri-negeri lain.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya sudah bersiap sedia ke arah itu namun belum menerima maklumat terkini daripada DUN mengenai perkara tersebut.

“Kita sudah masuk 12 bulan terakhir sebelum DUN dan Dewan Rakyat bubar secara automatik, jadi kemungkinan besar perkara itu berlaku memang ada. Tetapi setakat ini, saya belum terima maklumat dan pendirian terkini DUN khususnya Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Tambah beliau, perkara itu mungkin dibincang dalam mesyuarat Majlis Presiden PH bulan depan.

Ketika ditanya mengenai keyakinan untuk menang negeri-negeri di bawah penguasaan PH khususnya Selangor, Fahmi berkata, faktor bekas pemimpin PKR seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Zuraida Kamaruddin
tidak lagi menjadi halangan untuk parti itu kekal menang dan menjadi pemerintah di negeri terbabit.

“Kelompok Mohamed Azmin dan Zuraida tidak ada ‘faktor’ di Selangor kerana kita lihat yang menjadi jentera mereka pun, ada yang sudah patah balik. Ada yang sudah lesu dengan tindakan pemimpin mereka, berpecah belah, itu hal merekalah.

“Tetapi dari segi mutu perkhidmatan yang diusahakan, Kerajaan Negeri Selangor di bawah PH, saya lihat masih baik, pengundi masih baik, tapi kita tidak lagi boleh mengambil sikap sambil lewa, mesti pertingkat mutu,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng ketika dihubungi turut senada dengan menjelaskan yang pihaknya berkemungkinan akan membubarkan DUN supaya pilihan raya boleh diadakan serentak.

“Kemungkinan itu ada, tetapi kita mahu lihat keputusan PH. Sebab sebelum ini keputusan kita adalah tidak akan bubar serentak, tetapi kalau nak bubar, perlu ada mesyuarat.

“Kalau buat akhir tahun, kita boleh pertimbang sebab tempoh itu sudah dekat dengan penggal akhir, tetapi kalau mahu buat perubahan, kita perlu adakan mesyuarat terlebih dulu,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, paling lewat PRU15 boleh diadakan pada Julai 2023 iaitu tarikh akhir penggal pilihan raya umum ketika ini. – UTUSAN

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.