Amanah gugur Hanipa, 3 lagi penyandang PRU kali ini
Amanah menggugurkan empat penyandang kerusi Parlimennya daripada senarai calon bagi PRU15.
Parti itu juga akan bertanding di 54 kerusi Parlimen - meningkat 35 peratus berbanding PRU lalu.
Empat penyandang yang digugurkan adalah Hanipa Maidin (Sepang), Anuar Tahir (Temerloh), Hasanuddin Mohd Yunus (Hulu Langat) dan Hasan Bahrom (Tampin).
Dalam pengumuman rasmi hari ini, Amanah turut mengumumkan Khalid Samad tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Shah Alam, tetapi akan menjadi calon di Parlimen Titiwangsa.
Muka baru iaitu Azli Yusof akan menggantikan Khalid di Shah Alam.
Turut diumumkan adalah bekas ketua menteri Melaka Adly Zahari yang akan bertanding di Alor Gajah.
Amanah menukar kerusi itu dengan DAP yang akan bertanding di Jerai, Kedah. Terdahulu hari ini, Amanah memecat pengerusi negeri Phahrolrazi Mohd Zawawi yang membantah pertukaran itu.
Berkenaan penyandang yang digugurkan, Khalid yang merupakan pengarah komunikasi Amanah berkata keputusan itu adalah sebahagian daripada pelan peralihan Amanah, di mana parti itu ingin memberi peluang kepada muka baru.
"Ini tidak bermakna mereka tidak jalankan tugas dengan baik. Tetapi ia proses peralihan di mana kami ingin menggalakkan pemimpin baru agar diberi peluang untuk bertanding.
"Seperti Hasanuddin di Hulu langat, Hanipa di Sepang, Hasan di Tampin, semuanya tunjuk prestasi yang baik. Tetapi berdasarkan perkiraan tertentu, kami ambil ini sebagai peluang untuk muka baru," katanya ketika sidang media di ibu pejabat Amanah di Kuala Lumpur.
Berkenaan Anuar pula, Khalid berkata di pada mulanya tersenarai sebagai calon tetapi kemudian digugurkan atas masalah kesihatan.
Setiausaha Agung Amanah Hatta Ramli pula berkata mereka akan bertanding di tambahan 19 kerusi dalam PRU kali ini.
Antara kerusi baru yang diperuntukkan kepada Amanah adalah Langkawi dan Baling di Kedah; Sri Gading, Kota Tinggi dan Pengerang di Johor; Alor Gajah di Melaka; Jempol di Negeri Sembilan; Sabak Bernam di Selangor; and dua kerusi Wilayah Persekutuan, iaitu Titiwangsa dan Labuan.
Antara muka baru yang ditampilkan Amanah adalah bekas ketua pengarah SPRM Latifah Md Yatim (Sik) dan Nik Faizah Nik Othman (Pengkalan Chepa), yang memulakan kempen kibar bendera putih ketika penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.