https://critoxium.com/shop/

Terkini

PM arah polis ambil tindakan terhadap fitnah ejen Israel

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sudah mengarahkan pihak polis mengambil tindakan terhadap pihak yang mengaitkannya sebagai ejen Israel.

Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil, berkata Pakatan Harapan (PH) juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mengaitkan pemimpin gabungan itu sebagai ejen Israel.

"Beliau (Anwar) tidak berhasrat mengambil tindakan terhadap kritikan berkenaan capal (ketika memasuki Jabatan Perdana Menteri), namun kita menitikberatkan soal elemen fitnah seperti ejen Israel dan beliau meminta polis mengambil tindakan.

"Namun, saya tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai laporan polis itu," katanya kepada pemberita, di sini.

Terdahulu, Fahmi, yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menghadiri Mesyuarat Majlis Presiden PH, yang dipengerusikan Anwar.

Anwar, yang juga Presiden PKR, mula dikaitkan dengan fitnah itu apabila Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, mempersoalkan pendirian Ahli Parlimen Tambun terbabit berhubung penahanan beberapa individu, termasuk rakyat tempatan yang disyaki terbabit dengan ejen perisikan Israel, Mossad.

Sementara itu, Fahmi berkata, PH belum memutuskan sama ada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) diterima dalam gabungan itu.

Beliau berkata, kehadiran Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada mesyuarat Majlis Presiden PH itu adalah sebagai lambang kerjasama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), baru-baru ini.

"Kita ada kerjasama...kita buat satu persatu (diterima dalam PH)," katanya.

Pada 10 September lalu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengesahkan Majlis Presiden PH menerima permohonan MUDA untuk menyertai PH secara rasmi, dengan permohonan itu dihantar oleh Syed Saddiq.

Namun Oktober lalu, Anwar menjelaskan masih belum membuat sebarang ketetapan berhubung penyertaan MUDA ke dalam gabungan itu.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.