Daftar Sumbangan Tunai Rahmah, kemas kini data mula hari ini
PETALING JAYA: Pendaftaran dan kemas kini data bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) secara dalam talian dibuka mulai hari ini sehingga 31 Mac.
Menurut Kementerian Kewangan, ini bagi memastikan mereka yang layak atau masih tiada dalam pangkalan data kerajaan dapat mengemukakan permohonan masing-masing.
Selain itu, penerima sedia ada dapat membuat sebarang perubahan maklumat, lapor Bernama.
Ketika membentangkan Bajet 2023 Jumaat lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga menteri kewangan berkata, STR akan membantu meringankan beban sara hidup hampir 9 juta penerima dengan peruntukan hampir RM8 bilion.
Pada 16 Jan lepas, Anwar mengumumkan pembayaran STR fasa satu kepada 8.7 juta golongan B40 bernilai RM1.67 bilion akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima berdaftar secara berperingkat mulai 17 Jan.
Pembayaran STR dibuat mengikut kategori, dengan empat juta isi rumah masing-masing menerima RM300 manakala 1.2 juta warga emas yang tiada pasangan dan 3.5 juta penerima bujang masing-masing menerima RM100.
Pemohon boleh merujuk portal rasmi STR untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Menurut kementerian, data penerima STR fasa satu akan dibawa secara automatik ke dalam pangkalan data kerajaan bagi mengurangkan golongan yang tercicir.
Data daripada beberapa agensi kerajaan juga akan disemak silang bagi menentukan kelayakan bagi STR mengikut syarat yang ditetapkan.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.