Projek tak lewat, diurus ikut kos asal tambah hasil kerajaan, kata Rafizi
KUALA LUMPUR: Kerajaan masih ada ruang mengawal perbelanjaan negara terutama perbelanjaan pembinaan supaya lebih berhemah dan lebih tepat dengan perancangan, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
Katanya, ia secara tidak langsung membantu kerajaan daripada segi keperluan hasil lebih baik.S
Rafizi berkata, sekiranya mampu mengawal perlaksanaan sesebuah projek diluluskan dengan baik dan memastikan projek tersebut dilaksanakan dengan perbelanjaan yang telah diperuntukkan tanpa kenaikan kos dari setahun ke setahun, sudah tentu keperluan kerajaan berbelanja makin berkurangan.
“Bila keperluan itu kurang, projek berjalan baik dan tiada kelewatan, oleh kerana kita berada dalam kedudukan defisit perbelanjaan, kuranglah keperluan peruntukan dan kurang berhutang.
“Justeru, bagi tempoh 12 ke 15 bulan ini, tiada keperluan untuk (pengenalan) cukai baharu, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan sebagainya. Kita mengatur perlaksanaan projek dengan lebih baik…itu akan membantu menambah hasil kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucap tama pada acara HSBC Asian Business Forum.
Beliau berkata di negara lain, apabila gaji rakyatnya sudah mencapai suatu tahap yang tinggi, majoriti rakyat akan membayar cukai.
“Cuma daripada segi kutipan proses untuk mendapatkan cukai ini, ia lebih cerewet (teliti) kerana ia melibatkan proses yang lebih panjang. Secara perbandingan, kaedah kutipan cukai pendapatan ini lebih sukar berbanding GST kerana GST itu dikutip oleh peniaga bagi pihak kerajaan, jadi ia tidak perlu taksiran dan sebagainya,” katanya.
Di negara-negara majoriti rakyatnya bergaji tinggi dan membayar cukai, apabila kerajaan menukar daripada cukai pendapatan kepada GST, Rafizi berkata, kadar cukai pendapatan dikurangkan kerana peralihan kepada GST itu bukan untuk mengutip cukai tambahan, tetapi kerana ia adalah kaedah lebih baik untuk mengutip cukai.
“Kita perlu sampai ke peringkat itu (pendapatan rakyat lebih baik) terlebih dahulu (sebelum pelaksanaan GST). Jadi…dalam keadaan majoriti rakyat Malaysia masih belum ke tahap itu (pendapatan lebih baik), kalau kita laksanakan GST, kumpulan yang pendapatan mereka tidak perlu membayar cukai…terpaksa berbuat demikian (bayar cukai),” katanya.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.