https://critoxium.com/shop/

Terkini

Formula agihan kutipan tiket kekal

 


KUALA LUMPUR: Pengusaha pawagam tidak bercadang menyemak semula kadar agihan kutipan tiket dengan penerbit filem tempatan, biarpun isu berkenaan sentiasa menjadi perdebatan karyawan filem di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GSC Group, Koh Mei Lee, berkata kadar agihan kutipan tiket bagi filem tempatan adalah rendah berbanding judul antarabangsa, terutama Hollywood.

Mei Lee berkata, agihan kutipan tiket ketika ini adalah pada kadar 50 peratus untuk filem tempatan berbanding 55 peratus hingga 65 peratus untuk filem antarabangsa.

"Kadar agihan masih pada tahap sesuai dan hanya akan meningkat berdasarkan sambutan terhadap filem.

"Jika ia mencapai pecah panggung dan perlu dilanjutkan tempoh tayangan, barulah kadar agihan meningkat.

"Namun, jika dibandingkan dengan kadar agihan filem antarabangsa, terutama Hollywood, ia lebih tinggi.

"Ini adalah antara peranan dimainkan GSC untuk industri filem tempatan," katanya ketika ditemui BH Online selepas taklimat media prestasi kewangan PPB Group Bhd, syarikat induk kepada GSC di ibu negara, baru-baru ini.

Sebelum ini, Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) dan Persatuan Penerbit Filem (PFM) dilaporkan bersetuju mengkaji semula pembahagian kutipan tiket yang dilihat lebih memihak kepada pengendali pawagam berdasarkan formula diguna pakai sekarang.

Mei Lee berkongsi, kadar agihan kutipan tiket bagi filem tempatan adalah rendah berbanding judul antarabangsa, terutama Hollywood.
Mei Lee berkongsi, kadar agihan kutipan tiket bagi filem tempatan adalah rendah berbanding judul antarabangsa, terutama Hollywood.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) juga dikatakan sudah memberi tempoh masa kepada MAFE untuk menyediakan kertas kerja mekanisme pengiraan baharu berdasarkan prestasi filem ditayangkan demi mewujudkan situasi 'menang-menang' antara semua pihak.

Mei Lee berkata, GSC sering menjalin kerjasama dengan penerbit filem tempatan dan menyediakan kemudahan yang perlu, termasuk program Skim Wajib Tayang sekurang-kurangnya dua minggu di skrin utama.

Beliau berkata, karyawan filem tempatan perlu mengubah mentaliti terlalu bergantung kepada subsidi atau bantuan dalam pembuatan filem.

"Mereka perlu berubah daripada terlalu bergantung kepada subsidi dan bantuan. Saya fikir apabila semakin ramai penerbit profesional masuk ke pasaran, mereka akan faham mekanik global dan cara industri pawagam berfungsi," katanya.

Isu pembahagian kutipan tiket dan duti hiburan 25 peratus hangat diperkatakan selepas filem 'box office', Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan merekodkan jualan tiket luar biasa iaitu lebih RM51.8 juta selepas 13 hari tayangan.

Mengikut laporan, selepas 33 hari ditayangkan di Malaysia, Singapura dan Brunei, filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan arahan Syamsul Yusof merekodkan jualan tiket lebih RM90 juta.

Pencapaian itu menimbulkan polemik berhubung pulangan diraih penerbit filem selepas menolak kes pembikinan, duti hiburan dan pembahagian jualan tiket dengan pawagam.

Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan kini mengungguli senarai filem tempatan paling laris pernah diterbitkan dalam sejarah perfileman negara sejak naskhah pertama Laila Majnun dihasilkan pada 1933.

Malah, penangan Mat Kilau turut menyaksikan filem Hollywood, Top Gun: Maverick dan Jurassic World (Dominion) 'berkubur' dalam carta pecah panggung, membuktikan kekuatan filem tempatan dalam menarik penonton ke pawagam.

Berdasarkan jualan tiket, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan mengatasi kutipan sebuah lagi filem arahan Syamsul, iaitu Munafik 2 sebanyak RM48 juta pada 2018. Munafik 2 sebelum ini mendahului senarai filem paling laris pernah diterbitkan di Malaysia.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.