Dah terlambat Syamsul... - Puteri Sarah
KUALA LUMPUR: Sambutan ulang tahun perkahwinan kesembilan pasangan sensasi, Syamsul Yusof, 39, dan Puteri Sarah Liyana, 38, esok tidak lagi memberi makna apabila kemelut rumah tangga sejak tiga tahun lalu menemui jalan buntu.
Keadaan menjadi semakin rumit apabila Syamsul enggan menceraikan Puteri Sarah atas alasan ingin berdamai dan masih menaruh harapan pergolakan rumah tangga dapat diselesaikan.
Sehubungan itu, Puteri Sarah meluahkan rasa kecewa dengan keputusan Syamsul dan terus mendesak supaya dirinya dilepaskan.
"Lepaskan sahaja saya. Sudah ada isteri baharu dan tak mengambil endah pasal saya, kenapa tiba-tiba baru hari ini nak tersedar? Saya memang tak nak.
"Kalau baru hari ini nak tersedar yang akan kehilangan isteri, sudah terlambat. Perbincangan sepatutnya berlaku tiga tahun lepas.
"Saya hanya mahu dilepaskan dan ingin meneruskan kehidupan baharu. Saya sudah tidak ada perasaan lagi terhadapnya," katanya ketika ditemui selepas sebutan kes tuntutan cerai di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, pagi tadi.
Dalam pada itu, pelakon drama rantaian Aku Seorang Perempuan ini pelik dengan keputusan Syamsul untuk tidak melafazkan talak, sedangkan sepanjang tiga tahun pergolakan rumah tangga, pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu tidak pernah menjalankan tanggungjawab sebagai suami.
"Kita sudah lama tidak seperti suami isteri. Dia juga sudah tidak menjalankan tanggungjawab sebagai suami.
"Dia sepatutnya terkejut dengan tindakannya sendiri yang secara tiba-tiba tak mahu bercerai.
"Kita semua mengharapkan semuanya selesai (bercerai)," ungkapnya.
Ditanya reaksinya ketika bertemu suami buat kali pertama selepas setahun dalam kamar mahkamah, Puteri Sarah menjelaskan, perasaannya kosong dan tidak mahu ambil peduli kewujudan Syamsul.
"Rasa biasa sahaja. Tiada apa yang luar biasa. Saya tak pandang pun, tak tahu dia tengok saya atau sebaliknya.
"Saya hanya mahu terus pandang ke depan. Dah la, bye-bye," katanya lagi.
Terdahulu, Puteri Sarah dan suaminya, Syamsul diperintahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah, di sini, hari ini melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes permohonan perceraian mereka.
Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan demikian selepas kes itu disebut di hadapannya dengan dihadiri kedua-dua pihak.
Pada prosiding itu, Puteri Sarah atau nama sebenarnya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin diwakili peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader, manakala Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd Syamsul Mohd Yusof hadir bersama peguam syarie, Roshdan Sujak.
Sebelum ini, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan penceraian itu di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Berdasarkan dokumen diperoleh, antara alasan dikemukakan Puteri Sarah untuk bercerai ialah sudah tidak ada persefahaman dan wujud shiqaq (perbalahan berpanjangan) serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri menurut hukum syarak.
Permohonan cerai difailkan mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan mereka dikurniakan dua orang cahaya mata, Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.