https://critoxium.com/shop/

Terkini

Dakwa ada ‘bukti’ PN terima dana syarikat judi, ahli perniagaan lapor SPRM


Oleh Faisal Asyraf

PUTRAJAYA: Seorang individu membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan Perikatan Nasional (PN) telah menerima dana daripada syarikat perjudian.

Ahli perniagaan Rashdan Yusof, 52, mendakwa dia mempunyai bukti yang mengaitkan gabungan itu dengan syarikat perjudian dan mahu SPRM menyiasat lebih lanjut.

“Maklumat yang saya ada disokong oleh dokumen tertentu. Saya serahkan kepada SPRM untuk menyiasat perkara itu,” katanya kepada pemberita.

Rashdan, yang tiba di ibu pejabat SPRM pada 9.30 pagi, mendakwa dia tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana parti politik atau NGO. Dia meluangkan masa kira-kira tiga jam untuk memberikan kenyataannya kepada badan rasuah itu.

Sumber SPRM mengesahkan kenyataannya dirakam.

Pada Disember 2022, Malaysiakini memetik Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang membayangkan bahawa sebahagian daripada dana PN untuk kempen pilihan rayanya datang daripada syarikat perjudian, terutamanya yang mengambil bahagian dalam “cabutan khas” untuk nombor 4D.

Timbalan Anwar, Zahid Hamidi, dilaporkan mengulangi kenyataan perdana menteri dan mendakwa beliau yakin “pihak di belah sana” telah memperoleh dana daripada syarikat perjudian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said memberitahu Dewan Rakyat minggu lalu bahawa SPRM telah menjalankan kajian terperinci berhubung maklumat yang diberikan mengenai dakwaan itu, tetapi mendapati ia “terlalu umum”.

Selepas itu, tiada kertas siasatan dibuka berhubung perkara itu, katanya.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin kemudian berkata gabungan itu akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Anwar dan Zahid atas kenyataan mereka, dengan mendakwa ia berunsur fitnah.

Anwar kemudiannya berkata siasatan sedang dijalankan dan mengulangi bahawa beliau tidak akan membuat dakwaan sedemikian tanpa sebarang asas, mengalu-alukan sebarang tindakan undang-undang oleh pakatan pembangkang.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.