https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kewartawanan 'serbu tembok' barat gagal pengaruhi rakyat Turkiye?


Di kala Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengalu-alukan kebebasan media dalam mengkritik kerajaan, media barat yang telah lama mengamalkan kebebasan ini tetapi pada masa sama mengenepikan prinsip berasaskan nilai dan akhlak dalam pemberitaan mereka,  khusus dalam liputan ke atas negara asing.

Ini dapat diperhatikan dalam liputan dan laporan media barat yang berat sebelah serta tidak objektif sebelum dan semasa pilihan raya Turkiye baru-baru ini.

Pemberitaan media barat dalam pilihan raya Turkiye seolah-olah sebagai media pembangkang di Turkiye.

Bahkan beberapa bulan sebelum pilihan raya, Majalah berpengaruh The Economist membuat liputan khas mengenai pilihan raya Turkiye dengan memberitahu rakyat Turkiye bahawa Erdogan harus pergi. Malah majalah tersebut menggesa rakyat Turkiye mengundi calon pembangkang demi menyelamatkan demokrasi dan menuduh dia yang memerintah selama 20 tahun itu memimpin dengan cara autokratik.

Tanpa mempedulikan pencapaian Erdogan selama 20 tahun memerintah Turkiye (walaupun sekarang berhadapan penurunan mata wang dan kadar inflasi yang tinggi), akhbar British The Independent dan Guardian, akhbar Peranchis Le Poin dan Le Monde, akhbar AS seperti New York Times dan Wall Street Journal serta majalah New Yorker telah membelakangkan etika kewartawanan dan seolah-olah berkempen dalam pilihan raya Turkiye ini dengan membuat dakwaan-dakwaan yang menentang Erdogan dan mempromosikan Kilicdaroglu.

Satu artikel yang disiarkan Associated Press dan digunakan oleh media Eropah lain telah mengibliskan Erdogan dan memperkenalkan pesaingnya dalam pemilihan presiden sebagai penyelamat  Turkiye daripada “diktator” Erdogan.

Kemal Kilicdaroglu

Setelah memasuki pilihan raya undian kedua pada 28 Mei lepas selepas penyandang Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dan pesaingnya, Kemal Kilicdaroglu tidak melepasi jumlah 50 peratus undian untuk memenangi pilihan raya, ternyata barat dan medianya telah gagal mempengaruhi rakyat Turkiye supaya mengundi calon pembangkang. 

Dalam pilihan raya kedua Presiden Turkiye, Erdogan menang sekali gus melanjutkan pemerintahannya untuk lima tahun lagi.

Lembaga Pilihan Raya negara itu mengesahkan dengan 99 peratus undi selesai dikira, kiraan rasmi menunjukkan Erdogan peroleh 52.14 peratus sokongan.

Kita dapat menilai betapa penting pilihan raya Turkiye kepada barat dan ia mendapat perhatian sebahagian besar media di san. Walaupun ratusan kakitangan media barat memiliki kebebasan capaian dan kebebasan melaporkan, bahkan menghadiri perhimpunan awam politik, jika diteliti naratif dan wacana mereka mengabaikan budaya politik Turkiye.

Pembingkaian berita pilihan raya Turkiye  dalam persaingan kerusi presiden antara Erdogan dan KılıçdaroÄŸlu tertumpu kepada pertarungan antara demokrasi dan kediktatoran.

Bahkan seperti dijelaskan di atas, majalah The Economist membuat pendulu berita yang tertumpu kepada perkara di atas, antaranya  single element lead, juga what lead, who lead, when lead dan where lead.

Dalam pemberitaan, kesemua pendulu termasuk pendulu naratif yang mereka gunakan dengan penuh keyakinan berbentuk kewartawanan payung terjun atau serbu tembok, dengan harapan fokus kepada sekularisme dan liberalisme akan mempengaruhi rakyat untuk mengundi pembangkang.

Liputan mereka seolah-olah menggambarkan suasana liberalisme dan sekularisme di Istanbul dan kekuatan Kılıçdaroğlu mewakili seluruh Turkiye, dan Turkiye hanya terdapat di Istanbul.

Corak pemaparan berita mengambil bentuk kewartawan payung terjun atau serbu tembok ini tertumpu kepada pembangkang mewakili demokrasi dan penyandang presiden sebagai diktator, mengabaikan aspek-aspek lain yang menjadi keutamaan rakyat Turkiye.

Satu perkara lagi, tumpuan berita juga dirumuskan kepada masalah dan kemelut ekonomi. Mereka mengenepikan isu nasionalisme, faktor penting yang mencetuskan kesedaran rakyat Turkiye.

Bahkan jika diperhatikan gabungan pembangkang tidak mempunyai pendirian sepenuhnya dalam isu kritikal seperti keselamatan negara, industri pertahanan dan antikeganasan.

Bahkan terdapat parti pembangkang yang dikaitkan dengan pertubuhan yang didakwa ada unsur keganasan, PKK (Parti Pekerja Kurdistan). Dakwaan-dakwaan ini menjejaskan sokongan rakyat Turkiye kerana tidak memberikan perhatian kepada isu nasionalisme dan keselamatan negara.

Contohnya salah seorang pemimin parti pembangkang telah menyentuh isu sensitif negara dengan membuat kritikan ke atas pengswastaan Baykar, sebuah syarikat dalam industri pertahanan nasional Turkiye. Kenyataan sebegini tentunya mendatangkan kehilangan sokongan rakyat Turkiye kepada kepimpinan Kilicdaroglu yang dilihat tidak mengutamakan keselamatan negara.

Saya teringat kepada kata-kata sarjana poliitk antarabangsa John Mearsheimer  bahawa nasionalisme adalah lebih utama daripada ideology. Penekanan Kilicdaroglu kepada tema-tema nasionalisme menjelang undian pusingan kedua sudah terlambat.

Setelah keputusan undian pertama disiarkan, Kilicdaraglu menukarkan tema kempen kepada ‘No East No West’, seolah-olah menyamai polisi Erdogan yang menyeimbangkan dasar luar yang tidak bersujud kepada barat.

Video dan slogan yang menekankan kepada nasionalisme sudah agak terlambat dan dia serta media barat sudah menyeleweng dalam memberikan penekanan semasa pilhan raya. Rakyat Turkiye sudah dapat menghidu seolah-olah wujudnya hubung kait dalam hubungan perikatan pembangkang dengan media barat dalam kempen pilihan raya di negara mereka.

Kestabilan dan sentimen nasioalisme dalam kalangan masyarakat Turkiye terutamanya di wilayah-wilayah sebelah Asia dan kawasan yang ditimpa gempa bumi dan tingkah laku pengundi merupakan faktor-faktor kritikal yang diabaikan media barat.

Sebaliknya media barat menumpukan kepada isu demokrasi dan kediktatoran serta masalah ekonomi, tanpa membuat penyelidikan dengan lebih mendalam dan mencorak pemberitaan serbu tembok dengan pemihakan keterlaluan kepada Kilicdaroglu dan Istanbul. 


ISMAIL HASHIM YAHAYA ialah pemerhati isu geopolitik dan perhubungan antarabangsa.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.