https://critoxium.com/shop/

Terkini

PRN Selangor: PH tawar 10, BN minta 17 kerusi - sumber

 


Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Selangor masih dalam proses rundingan mengenai pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Perkara ini selepas BN meminta PH menambah jumlah kerusi yang ditawarkan sebelum ini.

Beberapa sumber daripada PH dan BN memberitahu Malaysiakini, PH menawarkan 10 kerusi kepada BN.

Namun, gabungan itu meminta PH Selangor yang diketuai oleh Menteri Besar Amirudin Shari agar menambahkan sekurang-kurangnya tujuh lagi kerusi menjelang PRN yang diramal akan diadakan pada hujung bulan Julai ini.

"Setelah beberapa pusingan rundingan, PH menawarkan 10 kerusi termasuk empat DUN yang dimenangi Umno pada PRU14, " kata sumber daripada PH.

Difahamkan, selain empat kerusi yang disandang oleh Umno, PH menawarkan enam kerusi yang masing-masing dimenangi oleh PAS dan lima daripada enam kerusi dimenangi Bersatu pada PRU 14 yang lalu kecuali DUN Dengkil.

Namun, beberapa sumber BN berkata gabungan itu tidak berpuas hati dengan tawaran 10 kerusi.

"Kami nampak angka 10 itu sangat kecil. Kalau boleh kami sasar 17 termasuk MCA dan MIC.

"Permintaan tujuh kerusi tambahan itu termasuk Sungai Kandis, Kuala Kubu Bharu, Dengkil dan Sentosa.

"MCA menyasarkan kerusi Kuala Kubu Bharu yang kini disandang oleh DAP.

“Manakala, MIC mahu salah satu daripada DUN Sentosa atau Dengkil," kata satu sumber Umno.

Bagi DUN Sungai Kandis, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz disebut-sebut akan bertanding di kerusi itu yang dimenangi pemimpin PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni pada pilihan raya kecil 2018.

Malaysiakini telah menghubungi Pengerusi BN Selangor Megat Zulkarnain Omardin dan pejabat Amiruddin untuk mendapatkan komen.

Pada PRU14, gabungan PH terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan Bersatu memenangi 51 kerusi daripada 56 yang ditandingi.

Umno menang empat kerusi manakala PAS menang satu DUN di Sijangkang.

Namun, pada 2020, Bersatu yang menang enam DUN bertindak keluar daripada PH menerusi Langkah Sheraton yang menyaksikan keruntuhan kerajaan pusat pimpinan PH.

ADS

Bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali yang juga Adun Bukit Antarabangsa bertindak menyertai Bersatu bersama-sama Adun Gombak Setia Muhammad Hilman Idham.

Sementara itu, Adun Sementa Daroyah Alwi dan Adun Lembah Jaya Haniza Mohamed Talha keluar PKR dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang dilihat sebagai parti serpihan PKR.

Bersatu turut kehilangan tiga wakil rakyat di Dewan Undangan Selangor selepas Adun Jeram Mohd Shaid Rosli, Adun Kuang Sallehudin Amiruddin dan Adun Batang Harumaini Omar menyertai parti Pejuang yang diasaskan oleh Dr Mahathir Mohamad.

Namun, kerusi Batang Kali diisytihar kosong pada Feb 2023 oleh Dewan Undangan Selangor berikutan wakil rakyat berkenaan gagal hadir diri tanpa kebenaran, semasa persidangan dewan melebihi enam bulan, iaitu sejak 28 Julai tahun 2021.

Dalam pada itu, sumber Umno berkata dia menjangkakan kemungkinan terdapat kelonggaran dalam polisi 'yang menang dikekalkan'.

"Saya percaya, PH tidak boleh terlalu keras dengan polisi bahawa parti yang menang kerusi DUN pada PRU14 akan mengekalkan kerusi tersebut.

"Ini mungkin akan menyukarkan gabungan itu khususnya PKR dan Amanah sekiranya pemilihan negeri Melaka dan Johor diadakan lebih awal daripada PRU16.

"Ini kerana PKR gagal menang sebarang kerusi di PRN Melaka dan menang satu kerusi di Johor. Maka, polisi 'yang menang dikekalkan' tidak boleh digunakan di kedua-dua negeri itu.

"Mungkin rundingan peringkat negeri berbeza. Tetapi, keputusan di pucuk pimpinan PH dan BN adalah muktamad. Dan kami harap akan ada kerusi dimenangi PH akan dibahagikan kepada BN pada PRN Selangor," katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.