https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pemergian allahyarham kehilangan besar buat negara

 


Oleh Lim Hong Siang

Tidak sempat saya mengikuti demonstrasi Reformasi, yang tercetus pada tahun 1998. Saya hanya sempat turun ke jalan raya, itupun sebagai wartawan, selepas PRU11 pada tahun 2004 yang menyaksikan bagaimana Barisan Nasional merangkul lebih 90% kerusi Dewan Rakyat.

Pembangkang mula mengatur langkah mereka, menerokai kemungkinan untuk menyatukan semula parti yang pernah berada dalam Barisan Alternatif. 

Kenaikan harga minyak, tol, pemansuhan ISA dan sebagainya, dijadikan isu untuk mengerah sokongan rakyat. Suasana membanjiri ibu kota dengan lautan manusia sudah tinggal nostalgia ketika itu, pada zaman gelombang Reformasi semakin surut. Kelompok manusia seramai 500 orang sudah cukup memberangsangkan; jikalau 2000 orang yang hadir, memang dianggap kemenangan untuk penganjur. Perlu diingatkan, mereka berdepan dengan FRU, meriam air kimia dan gas pemedih mata ketika itu.

Pada zaman itu masyarakat Tionghua masih sangsi dengan PAS. Namun pemimpin seperti Mat Sabu, Hatta Ramli, Dzulkefly Ahmad, Mahfuz Omar, Mujahid Yusof Rawa dan Salahuddin Ayub (Ketua Pemuda PAS ketika itu), cuba mendampingi masyarakat Tionghua dengan isu kos sara hidup, hak asasi dan demokrasi, untuk mengubah persepsi masyarakat bukan Islam terhadap PAS. Allahyarham Salahuddin Ayub sering kelihatan dalam demonstrasi pada zaman itu, seorang yang berani dan bersemangat ketika memimpin demonstrasi jalanan, tetapi lembut dan sopan ketika bercakap kepada media. Usaha mereka berhasil, sebagaimana kita saksikan dalam PRU12 dan PRU13. Bagaimanapun, apa yang berlaku selanjutnya adalah sejarah.

Catatan ini tidak sempurna andainya tertinggal projek “RAHMAH” yang diinisiatifkan allahyarham. Mungkin bukan penyelesaian jangka panjang, namun dalam politik masa kini yang menuntut ahli politik untuk bertindak dengan pantas, RAHMAH menjadi antara program yang terserlah dalam prestasi 100 hari pertama kabinet “Kerajaan Perpaduan” pimpinan Anwar Ibrahim. Tiada alasan untuk kita pertikaikan, perlekehkan atau persendakan usaha dengan niat murni ini.

Sesungguhnya pemergian allahyarham kehilangan besar buat negara. Semoga roh allahyarham sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan soleh. Salam takziah kepada keluarga

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.