https://critoxium.com/shop/

Terkini

Khairy pertahan tindakan PM Islamkan pemuda di Klang


Bekas menteri Umno, Khairy Jamaluddin, hari ini menyatakan sokongannya terhadap tindakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengislamkan seorang pemuda di sebuah masjid di Klang baru-baru ini.

Ekoran kejadian itu, kata Khairy, timbul kekecohan dan rasa tidak puas hati sesetengah pihak.

Menurut Khairy, ada pihak beranggapan sebagai perdana menteri bukan tugas Anwar untuk terlibat dalam urusan agama, malah ada yang menuduh sehingga mengaitkan langkah itu sebagai usaha kerajaan mendapatkan semula sokongan rakyat selepas berakhirnya pilihan raya negeri (PRN).

"Saya nak mempertahankan perdana menteri dalam hal ini.

"Hanya kerana dia seorang perdana menteri, ia tidak menjadikan seseorang itu berhenti daripada menjadi Muslim," katanya dalam episod terbaru podcast Keluar Sekejap yang disiarkan hari ini.

Ia dikendalikan secara bersama oleh Khairy dan bekas naib ketua Pemuda Umno Malaysia, Shahril Hamdan.

Pada Jumaat lalu Anwar bersembahyang di sebuah masjid di Klang dan terlibat membimbing seorang lelaki bukan Islam mengucap dua kalimah syahadat.

Tindakan itu mendapat bantahan sesetengah pihak dan dianggap kurang sesuai kerana melibatkan Anwar sebagai perdana menteri.

PH, PN sama-sama salah

Antara pihak yang bersuara menyatakan rasa kesal mereka ialah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, serta bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang, P Ramasamy.

Khairy berkata dia menghubungi bekas menteri agama yang juga bekas mufti Wilayah Persekutuan, Zulkifli Mohamad, untuk mendapatkan pandangan mengenai tindakan Anwar.

Kata Khairy, Zulkifli memberitahunya mana-mana orang Islam boleh membantu seseorang yang ingin memeluk Islam secara sukarela.

"Dilaporkan bahawa perdana menteri terlibat dalam acara itu secara spontan.

"Saya juga akan melakukan perkara yang sama jika ada orang mendekati saya (dan meminta berbuat demikian)," katanya.

Sementara itu Shahril turut sependapat dengan Khairy dan menjelaskan pada akhirnya Islam adalah agama rasmi negara.

Justeru katanya, sebarang bentuk usaha memastikan Islam diperkukuhkan sentiasa disambut baik.

Mengulas juga menyentuh isu Pemuda PN bercadang menggunakan logo dan tema hari kebangsaan yang berbeza daripada apa yang digunakan Putrajaya, Khairy menganggap tindakan tersebut sebagai kebudak-budakan.

Pada masa sama bekas ahli parlimen Rembau itu mengingatkan, ia bukanlah kali pertama langkah tersebut dibuat.

“Pada 2012, semasa sambutan Hari Kebangsaan ke-55, tema dan slogan kebangsaan ialah Satu Malaysia, Janji Ditepati, tetapi pembangkang ketika itu tampil dengan tema yang berbeza iaitu Sebangsa, Senegara, Sejiwa.

"Malah, Selangor juga tidak menggunakan logo kerajaan pusat untuk Merdeka tahun lepas. Jadi kedua-duanya (PN dan PH) bersalah," katanya.

Apabila Shahril bertanya jika sudah tiba masa untuk negara melangkah tanpa slogan dan tema, secara sinis Khairy berkata: "Oh tak, di Malaysia, akan berlaku rusuhan kalau tiada slogan."

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.